PKR dijangka tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Keputusan tidak rasmi daripada Pakatan Harapan menunjukkan PKR ketinggalan di semua 11 kerusi menentang Barisan Nasional.
Semua kertas undi di 10 kerusi selesai dijumlahkan kecuali di Paya Rumput (N13).
Di kerusi inik, BN mendahului dengan 2,204 undi manakala PH mendapat 1,684 dan Perikatan Nasional memperoleh 1,246, menurut laman Facebook PH setakat 9.15 malam.
Paya Rumput ditandingi ketua penerangan PKR Shamsul Iskandar Akin yang bertembung empat calon lain.
10 kerusi lain terdiri daripad Tanjung Bidara, Lendu, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Sungai Udang, Kelebang, Ayer Molek, Rim dan Sg Rambai.
Sebelum PRN kali ini, PKR hanya menguasai tiga kerusi – Rembia, Machap Jaya dan Kelebang – yang dimenangi dalam PRU14.

Selain Shamsul Iskandar di Paya Rumput, satu lagi kerusi panas bagi PKR ialah Asahan, di mana bekas ketua menteri Melaka Idris Haron bertanding atas tiket parti itu selepas dipecat daripada Umno.
Idris ialah bekas Adun Sg Udang dan merupakan antara empat wakil rakyat yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali daripada BN sekali gus mengakibatkan pilihan raya negeri.
Pada 9.30 malam, Idris hanya memperoleh 2,561 undi berbanding BN 5,048.
Di Machap Jaya, BN mendahului dengan 3,269 meninggalkan PH (2,582 undi) manakala di Kelebang, BN memperoleh 4,947 undi berbanding PH (4,192). – 20 November, 2021.
Komen