DAP dijangka menang di tiga daripada lapan kerusi yang ditandinginya di Melaka, menurut keputusan tidak rasmi dikeluarkan parti itu.
Tiga kerusi itu adalah Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, kesemuanya kubu kuat parti itu.
Di Ayer Keroh, penyandang Kerk Chee Yee kini meraih 8,467 undi berbanding calon Barisan Nasional Yong Fun Juan (3,417) dan calon Perikatan Nasional Michael Gan (2,198).
Di Kota Laksamana, Low Chee Leong-DAP pula mendahului dengan 11,799 undi berbanding Benjamin Low-BN (1,882) dan Fong Khai Ling-PN (1,123).
Begitu juga di Bandar Hilir, calon DAP Leng Chau Yen mendahului dengan 7,720 undi berbanding Lee Kah Sean-BN (1,120) dan Clarice Chan-PN (553).
Bandar Hilir dan Kota Laksamana adalah kerusi majoriti Cina, manakala Ayer Keroh adalah kerusi campuran.
Pada PRU14 2018, DAP menang di lapan kerusi yang ditandinginya, tetapi kemudian hilang kerusi Pengkalan Batu selepas Adunnya Norhizam Hassan Baktee keluar parti selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan Pakatan Harapan di Putrajaya dan beberapa buah negeri lain. – 20 November, 2021.
Komen