PRN Melaka: BN umum menang di 19 kerusi


Chan Kok Leong Aminah Farid

Barisan Nasional mengisytiharkan kemenangan di 19 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2021.

PENGUNDIAN Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) berakhir pada jam 5.30 petang tadi dan kerja pengiraan undi sedang berlangsung, dengan keputusan penuh untuk 28 kerusi dijangka diketahui lewat malam ini.

PRN Melaka diadakan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali bulan lepas, sekaligus menyebabkan pembubaran DUN.

Terdapat 476,037 pengundi dalam senarai daftar pemilih. Setakat jam 4 petang, peratusan keluar mengundi adalah 61% menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pemerhati politik berpandangan yang peratusan rendah keluar mengundi memberi manfaat besar kepada Barisan Nasional. Pada PRU14 2018, apabila Pakatan Harapan menang di negeri itu, peratusan keluar mengundi adalah 84.7%.

217 pusat pengundian dibuka dan 1,109 saluran mengundi disediakan untuk 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PRN Melaka melibatkan 112 calon bertanding dari BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia), Iman (Parti Perikatan Islam Muslim Nasional) serta calon Bebas.

BN, PH dan PN bertembung di kesemua 28 kerusi. Manakala di kawasan yang melibatkan calon parti lain dan Bebas, sembilan kerusi menyaksikan pertembungan empat penjuru, lima kerusi ditandingi lima calon dan enam calon bertanding di tiga kerusi.

Hari ini Melaka memilih 28 Adun mewakili mereka selepas DUN dibubarkan kerana berlaku pertikaian politik dan sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, bulan lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2021.

The Malaysian Insight membawakan soroton utama keputusan berdasarkan maklumat rasmi SPR dan kiraan tidak rasmi parti politik bertanding:  

10pm: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh mengumumkan kemenangan rasmi BN dalam pilihan raya Melaka.

Beliau mengesahkan majoriti mudah BN iaitu 15 daripada 28 kerusi pada 9.40 malam.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi pada sidang media di Seri Cendana Ayer Keroh, Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November 2021.

9.50pm: PH telah mengaku kalah dalam pilihan raya Melaka.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PH negeri Adly Zahari dalam sidang media di Melaka malam ini.

Beliau turut mengaitkan kekalahan gabungan itu disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Beliau berkata bedah siasat akan dijalankan.

Adly bagaimanapun mengekalkan kerusinya di Bukit Katil dengan majoriti lebih 1,000 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Bekas ketua menteri Melaka ketika PH memerintah negeri itu, berkemungkinan menjadi satu-satunya Adun Amanah pada PRN hari ini.

9.20pm: Antara 11 kerusi PKR yang dijangka kalah ialah Tanjung Bidara, Lendu, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Sg Udang, Kelebang, Ayer Molek, Rim dan Sg Rambai.

Sebelum PRN ini, PKR hanya mempunyai tiga kerusi – Rembia, Machap Jaya dan Kelebang – yang dimenangi pada PRU14.

Pada pilihan raya kali ini, sekutunya DAP dan Amanah masing-masing bertanding lapan dan sembilan kerusi.

8.43pm: BN mendakwa ia menang di 19 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka. Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan secara lintas langsung di Facebook.

Antara kerusi didakwa dimenanginya adalah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Merlimau, Lendu dan Gadek.

Kemenangan di Lendu bermakna calon ketua menterinya Sulaiman Md Ali dalam landasan tepat untuk menerajui kerajaan negeri sekali lagi.

8:10pm: DAP juga sedang mendahului di Gadek, dengan calonnya yang juga penyandang kerusi Saminathan Ganesan meraih 4,258 undi. P Shanmugan-BN mendapat 1,227 undi dan Mohd Amir Fitri Muharam-PN (1,448).

Tetapi di Bemban, Ketua DAP Melaka Tey Kok Kiew sedang dikejar rapat oleh pesaingnya.

Tey kini mempunyai 1,196 undi berbanding Koh Chin Han-BN (1,227) dan Mohd Yadzil Yaakub-PN (1,448).

8:01pm: Keputusan tidak rasmi DAP menunjukkan calon parti itu sedang mendahului di enam daripada lapan kerusi yang ditandinginya.

Daripada jumlah itu, DAP dijangka menang di tiga kerusi-Ayer Keroh, Kota Laksamana and Bandar Hilir.

Enam kerusi yang menyaksikan undi didahului calon DAP adalah:

Ayer Keroh - Kerk Chee Yee-PH (8,647), Yong Fun Juan-BN(3,417) dan Micheal Gan Peng Lam-PN (2,198) 

Kota Laksamana - Low Chee Leong-PH (11,799), Benjamin Low Chin Hong-BN (1,882) dan Fong Khai Ling-PN (1,123)

Bandar Hilir - Leng Chau Yen-PH (7,720), Lee Kah Sean-BN (1,120) dan Clarice Chan-PN (553).

Kesidang - Allex Seah Shoo Chin-PH (4,428), Leong Hui Ying-PN (766) dan Patrick Ng Chin Kae-BN (1,216)

Pengkalan Batu - Muhamad Danish Zainudin-PH (2,178), Kalsom Nordin-BN (2,044) dan Mohd Azrudin Md Idris-PN (1,010). 

Duyong - Damian Yeo Shen Li-PH (3,511), Mohd Norhelmy Abdul Halem-BN (3,023) dan Kamarudin Sedik-PN (1,893).

7.28pm: Secara keseluruhannya, setakat ini, BN mendahului di sembilan daripada 11 kerusi.

Sembilan kerusi yang kini didahului BN adalah Tanjung Bidara, Lendu, Rembia, Asahan, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Rim dan Sg Rambai.

Lendu adalah kerusi di mana calon ketua menteri BN Sulaiman Md Ali bertanding.

Manakala Ketua Umno dan BN Melaka Ab Rauf Yusoh dan Mas Ermieyati Samsudin-PN pula bersaing sengit di Tanjung Bidara. Mas adalah calon ketua menteri PN, wanita pertama menyandang jawatan itu sekiranya PN menang di Melaka.

PN dan PH pula mendahului hanya di satu kerusi, masing-masing di Machap Jaya dan Sungai Udang.

7:20pm: Di Tanjung Bidara (N02), calon tumpuan Mas Ermieyati Samsudin-PN dan Ab Rauf Yusoh-BN bersaing sengit.

Mas Ermieyati, calon ketua menteri PN meraih 958 undi dan Rauf pula mendapat 973 undi, setakat ini.

Rauf adalah ketua Umno dan BN Melaka.

Manakala Zainal Hassan-PH ketinggalan di belakang dengan hanya 100 undi.

Di Tanjung Bidara (N02), calon tumpuan Mas Ermieyati Samsudin-PN (tengah) dan Ab Rauf Yusoh-BN (kanan) bersaing sengit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2021.

6.50pm: Di Rembia (N06), Muhammad Jailani Khamis-BN mendahului dengan 776 undi.

Undi semasa untuk calon lain adalah: Zamri Pakiri-PH (463), Zamzuri Ariffin-BN (428), K. Murali-Bebas (13) dan Sabarudin Kudus-Bebas (11).

Di Machap Jaya (N08), Law Bing Haw-PH mendahului dengan 285 undi.

Undi semasa untuk calon lain di sini adalah: Ngwe Hee Sam-BN (126), Tan Siong Jiul-PN (49), Abdul Aziz Osani Kasim-Iman (5), dan Azlan Daud-Bebas (1).

Menurut keputusan tidak rasmi, Idris Haron salah seorang daripada 4 Adun punca DUN dibubarkan meraih 241 undi berbanding calon Fairul Nizam Roslan (BN), 672 undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 November, 2021.

Di Asahan (N10), Fairul Nizam Roslan-BN mendahului dengan 672 undi. Idris Haron-PH salah seorang Adun yang menyebabkan PRN Melaka diadakan pula mendapat 241 undi.

Keputusan semasa untuk calon lain di Asahan: Dhanesh Basil-PN (186), Mohd Noor Salleh-Bebas (7), Azmar Hamid-Bebas (24) dan Mohd Akhir Ayob-Bebas (12).

Di Kelebang (N14), Lim Ban Hong-BN pula mendapat 1,858 undi dan diikuti rapat Gue Teck-PH dengan 1,803 undi dan Bakri Jamaluddin-PN dengan 1,447 undi.

6.38pm: Seorang pengundi disahkan positif Covid-19 selepas membuang undi di sebuah pusat pengundian di daerah Alor Gajah, menurut kenyataan dikeluarkan Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman.

Dr Rusdi dalam kenyataan berkata pusat mengundi berkenaan termasuk saluran mengundi terlibat ditutup sementara untuk dinyahkuman.

SPR juga mengambil langkah segera menggantikan saluran mengundi terlibat di bilik yang lain dan menggunakan peralatan yang baharu, tambah kenyataan. 

Pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang tadi, setakat jam 4 petang 61 % pemilih keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2021.

6.34pm: Di Kelebang (N14), Gue Teck-PH mendahului dengan 376 undi. Pesaingnya Lim Ban Hong-BN pula meraih 310 undi dan Bakri Jamaluddin-PN mendapat 175 undi.

6:02pm: Di Ayer Keroh, menurut keputusan tidak rasmi PH, Yong Fun Juan-BN memperolehi 333 undi. Ayer Keroh juga ditandingi calon Kerk Chee Yee-DAP dan Micheal Gan Peng Lam-PN. 

Manakala di Bandar Hilir, pengiraan BN mendapati calonnya Lee Kah Sean memperolehi 289 undi. Pertandingan DUN itu melibatkan empat calon iaitu Kah Sean-BN, Leng Chau Yen-DAP, Clarice Chan Ming Wang-PN, dan Mak Chee Kin-Bebas.  

5.50pm: PH mula memuatnaik keputusan tidak rasmi di laman Facebook mereka. SPR hanya mula melakukan pengiraan rasmi pada jam 6 petang.

Pengiraan PH mendapati bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali-BN mendahului di Lendu dengan 185 undi, sementara Asri Ibrahim-PH memiliki 19 undi.

Jumlah pengundi di Lendu adalah 10,561 orang.

Di DUN Sungai Udang yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, Dr Mohd Aleed Yusoff-PN mendahului dengan 240 undi berbanding Mohammad Ali Mohammad-BN (161), Hasmorni Tamby-PH (22) dan Mohd Zahar-Bebas (43). – 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen