PAKATAN Harapan masih menunggu Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung statusnya dan akan menghantar surat minggu hadapan untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan pakatan pembangkang itu menjelang pilihan raya umum.
Setiausaha PH Saifuddin Abdullah berkata, surat berkenaan akan dihantar selepas Bersatu menghantar laporannya kepada RoS pada Isnin.
“Selepas itu, sekretariat PH akan menghantar surat untuk bertanya mengenai kedudukan kami kerana dua isu yang diketengahkan oleh RoS sudah diselesaikan jadi kami akan tanya mereka berhubung status kami dan menunggu jawapan daripada pihak mereka,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight hari ini.
Saifuddin berkata, apabia delegasi PH pergi ke pejabat Kementerian Dalam Negeri pada November untuk membincangkan mengenai penangguhan pendaftaran, mereka diberitahu terdapat isu yang membabitkan Bersatu dan DAP.
Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata pendaftaran PH tertangguh berikutan Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan dan DAP belum menghantar laporan penuh pemilihan semula ahli jawatankuasanya.
Namun masalah ini sudah diselesaikan, kata Saifuddin hari ini.
“DAP telah mengadakan pemilihan semula dan juga menghantar laporan, manakala Bersatu tekah mengadakan AGM dan dalam proses untuk menghantar laporan,” katanya.
DAP mengadakan pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) pada kongres khas 12 November lalu, manakala Bersatu mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 30 Disember lalu.
Bagaimanapun, Saifuddin enggan mengulas lanjut mengenai pelan kontingensi sekiranya pakatan itu gagal mendapatkan status sah sebelum PRU14. yang akan diadakan sebelum Ogos.
“Kita ada Plan B tetapi (ia) akan didedahkan kemudian, selepas kita tahu status.
Terdapat lebih daripada satu idea dalam plan B dan bagaimana untuk kita laksanakan plan B, yang berkaitan logo. Kami masih belum tentutan mengenainya,” katanya.
Tambahnya, pemimpin parti hanya mahu menggunakan satu logo untuk mewakili PH dan itu sebabnya mengapa mereka mahu pendaftaran itu diluluskan.
“Namun sekiranya tidak (pendaftaran pakatan), apa pilihan yang kami ada? Di situ Plan B memainkan peranan tetapi apa Plan B dan bagaimana untuk laksanakannya, ia masih belum diputuskan.
“Semua sepakat bahawa kami hanya mahu gunakan satu logo,” tambah Saifuddin.
Pengerusi PH dan Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mempersoalkan RoS dan meminta pendaftar pertubuhan itu menjelaskan penangguhan pendaftaran pakatan.
Katanya RoS masih belum beberi maklum balas sejak PH menghantar permohonan pendaftaran pada 24 Julai tahun lalu.
Katanya, penangguhan pendaftaran PH akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional. – 30 Januari, 2018.
Komen