Manifesto tidak beri kesan di PRN Melaka, kata penganalisis


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Pengarah PRN Melaka BN Mohamad Hasan (kiri) dan calon ketua menteri Sulaiman Md Ali memegang buku manifesto parti itu di pada majlis pelancarannya 10 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2021.

KETIKA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan berlangsung hari ini, pengundi dilihat tidak akan mudah terpengaruh dengan janji pilihan raya dan habuan yang ditawarkan parti politik, kata penganalisis.

Mereka berkata manifesto tidak memberi kesan besar dalam pilihan raya ini kerana rakyat lebih bimbang tentang isu sosioekonomi, terutama bagi yang tinggal di kawasan pedalaman.

Penganalisis berkata janji yang diberikan dalam manifesto hanyalah sekadar janji untuk memikat pengundi.

Penganalisis politik dan felo kanan di Hal Ehwal Antarabangsa Singapore Institute Oh Ei Sun berkata tidak ramai pengundi hari ini, selain daripada yang ada kesedaran politik, peduli kepada manifesto.

“Biasanya hanya mereka yang lantang dan ada kesedaran politik yang kisah untuk baca manifesto.

“Kebanyakan pengundi lebih peduli tentang isu sosioekonomi atau perbezaan ideology pelbagai parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Melaka akan mengundi hari ini. Pakatan Harapan (PH) memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu tetapi kerajaan itu runtuh pada 2020 susulan tindakan keluar parti yang menyebabkan kerajaan pimpinan Umno mengambil alih pentadbiran.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Melaka juga terbubar apabila empat Adun, dua daripada Umno, menarik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Lee Kuok Tiung berkata manifesto hanya janji pilihan raya dan cara menarik pengundi.

“Kita perlu faham manifesto hanya janji yang dibuat parti politik atau calon tentang apa yang akan mereka buat jika menang, untuk tarik pengundi. Dalam kata lain, ia hanya janji pilihan raya.

“Kita biasa dengan ahli politik lama berkata ‘manifesto bukan kitab’,” katanya.

Selepas menang PRU14, perdana menteri pada masa itu Dr Mahathir Mohamad berkata manifesto pilihan raya PH bukan kitab suci yang perlu terlalu diikut, tetapi ia hanya panduan.

Lee berkata parti politik akan muncul dengan manifesto baharu pada setiap pilihan raya tetapi tidak pasti sama ada ia memang memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, atau tidak.

Bagi PRN Melaka, manifesto PH dipanggil “Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan” sementara Barisan Nasional (BN) “Kestabilan Demi Kemakmuran” dan manifesto Perikatan Nasional (PN) ialah “Melaka Bangkit Gemilang”.

“Parti politik yang sama atau calon akan bawa manifesto baharu pada setiap pilihan raya. Itu hakikatnya.

“Mereka boleh kata manifesto itu berdasarkan kepada perkembangan situasi semasa. Sejauh mana manifesto beri kesan terhadap corak mengundi sebenar, adalah subjektif,” kata Lee.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata manifesto tidak akan memberi kesan terhadap keputusan pengundi ketika memilih gabungan politik.

“Kebergantungan kempen menerusi media sosial adalah terhad. Manifesto tidak diketahui secara terperinci oleh pengundi.

“Malah, peratusan kecil saja di mana manifesto beri kesan kepada pengundi, iaitu bawah 10% pengudni percaya janji dalam manifesto,” katanya. – 20 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen