Hadiahkan tanah kepada Najib beri contoh buruk, kata pemimpin NGO


Alfian Z.M. Tahir

Najib Razak berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana meminta kerajaan memperuntukkan sebidang tanah sebagai sebahagian daripada keistimewaan seorang bekas perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2021.

MEMBERI sebidang tanah premium percuma kepada Najib Razak yang telah didapati bersalah melakukan rasuah dan salah guna kuasa akan menjadi contoh buruk dalam negara, kata pemimpin kumpulan sivil.

Mereka berkata Putrajaya sepatutnya menolak sahaja permintaan Najib untuk hartanah bernilai RM100 juta itu sebagai sebahagian daripada keistimewaan seorang bekas perdana menteri.

Mereka turut membidas Najib kerana membuat permintaan sedemikian ketika beliau masih berdepan pertuduhan kes jenayah, dan telah disabitkan kesalahan - berhubung penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Najib bagaimanapun berkata beliau akan membatalkan permohonannya untuk tanah itu berikutan kritikan orang ramai.

“Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan dengan saat sukar seperti ini, keutamaan negara adalah kepada rakyat.

“Jika rakyat tak selesa yang saya telah memohon kediaman dari kerajaan seperti yang dibenarkan dalam akta kerajaan. saya boleh tarik balik permohonan tahun 2018 tersebut,” katanya pada sidang media di Melaka.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di Kuala Lumpur.

Berita itu mengejutkan rakyat Malaysia yang mengkritik Najib kerana berani membuat permintaan sedemikian selepas ahli Parlimen Pekan itu disabitkan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy membidas Putrajaya kerana tidak mendedahkan perkara itu lebih awal.

Tambahnya kerajaan sepatutnya menolak sahaja permohonan itu apabila ia dibuat.

“Beliau langsung tidak malu selepas apa yang berlaku kepada negara ini.

“Kerajaan sepatutnya tidak mempedulikan permintaan beliau dan sepatutnya mendedahkannya kepada umum. Rakyat menderita dari segi ekonomi, dan menjadi tugas kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyatnya,” kata Sevan.

Sevan turut mengkritik Putrajaya kerana “bermain politik”.

“Seolah-olah isu ini bukan isu untuk Putrajaya. Jelas sekali terdapat amalan double standard.

“Orang miskin yang ditangkap mencuri masuk penjara tetapi bekas PM yang didapati bersalah masih dijaga,” katanya.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Najib dikatakan membuat permintaan itu berdasarkan amalan bahawa kerajaan hari ini dijangka memberi ganjaran kepada pendahulunya atas jasa dan sumbangan mereka.

Tengku Zafrul berkata Kabinet menerima permohonan Najib selepas Belanjawan 2022 dibentangkan. Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada ia diluluskan dan kemudiannya berkata permohonan itu belum dimuktamadkan lagi dan ia akan dikemukakan sebagai bajet tambahan tahun depan.

Sementara itu, jurucakap G25 Noor Farida Ariffin turut meluahkan rasa marah ketika mengulas perkara itu.

“Ketamakannya sungguh luar biasa! Kami semua menunggu untuk melihat beliau tinggal di penjara Sungai Buloh,” katanya.

Bekas diplomat itu berkata, beliau berang apabila mendengar berita permintaan Najib.

“Saya sangat marah kerana kleptomaniak ini yang telah disabitkan dengan kesalahan mencuri berbilion-bilion daripada rakyat, sepatutnya malu untuk meminta RM100 juta wang pembayar cukai.

“Berapa rumah yang klepto ini perlukan?! Adakah dia sedar bahawa ramai rakyat Malaysia yang kehilangan tempat tinggal dan tidur di jalanan,” kata Farida.
 
Isyarat salah 
 
Dr Muhammad Mohan dari Transparency International-Malaysia (TI-M) menasihatkan Najib untuk menangguhkan permohonan itu sehingga beliau bebas daripada semua kes mahkamahnya.

Beliau bersetuju permintaan sedemikian hanya akan menyebabkan orang ramai semakin marah.

“Walaupun beliau ada hak untuk membuat permintaan sedemikian kerana beliau bekas PM, namun beliau masih ada kesnya dan telah didapati bersalah. Sebaik-baiknya beliau tangguhkan permintaan ini.

“Dari sudut moral ini adalah perkara terbaik yang boleh beliau lakukan. Selagi beliau tidak bebas daripada kes dan kerajaan tidak boleh meluluskan permintaannya.

“Kalau kerajaan terima, orang akan marah. Bukan senang nak cari RM100 hari ini, apatah lagi RM100 juta. Ini akan memberi isyarat salah kepada dunia bahawa kita tidak serius dalam memerangi rasuah,” katanya lagi.

Najib yang merupakan perdana menteri keenam, kini dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Dalam mempertahankan tindakannya, Najib berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam meminta kerajaan memperuntukkan sebidang tanah sebagai sebahagian daripada keistimewaan seorang bekas perdana menteri.

Beliau berkata tanah yang dimintanya tidak bernilai RM100 juta seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita.

Beliau juga berkata Dr Mahathir Mohamad sudah meminda undang-undang semasa menjadi perdana menteri untuk memberi keistimewaan dan elaun khas kepada bekas perdana menteri termasuk pemilikan hartanah dan tanah milik kerajaan. – 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen