Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2022 di peringkat dasar 


Chan Kok Leong

Belanjawan 2022 diluluskan di peringkat dasar di Parlimen dan perbahasan peringkat jawatankuasa akan bermula yang mana ahli Parlimen boleh meneliti belanjawan bagi setiap kementerian secara terperinci.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2021.

DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 RM332.1 bilion di peringkat dasar melalui undi suara tanpa sebarang pindaan.

Pada 5.23 petang, belanjawan 2022 diluluskan dengan undi suara walaupun Warisan Sabah cuba menggesa undian belah bahagi.

Namun memandangkan Warisan hanya mempunyai lapan ahli Parlimen dan tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen yang diperlukan untuk undian belah bahagi, permintaan mereka ditolak.

Dengan belanjawan kini diluluskan di peringkat dasar, perbahasan peringkat jawatankuasa akan bermula pada 22 November.

Semasa peringkat jawatankuasa, ahli Parlimen akan dibenarkan untuk meneliti belanjawan bagi setiap kementerian secara terperinci. Setiap belanjawan kementerian akan diundi semula sebelum dibentangkan untuk kelulusan akhir atau Bacaan Ketiga.

Walaupun, terdapat beberapa aduan, belanjawan pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diluluskan kerana blok pembangkang terbesar, Pakatan Harapan telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Hanya sebulan dalam pentadbirannya, Ismail Sabri menandatangani MoU dengan Pakatan untuk kestabilan politik sebagai pertukaran bagi beberapa siri pembaharuan.

Ismail Sabri kini disokong oleh 114 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang dianggotai 220 orang berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman.– 18 November, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen