Pemimpin Sarawak puji keputusan kes Indira Gandhi 


Bede Hong

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata pembatalan penukaran agama anak-anak Indira Gandhi kepada Islam oleh bapa mereka adalah yang terbaik yang pernah berlaku di Malaysia yang berbilang kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2018.

PEMIMPIN dan kumpulan agama Sarawak hari ini memuji keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penukaran agama ketiga-tiga anak M. Indira Gandhi kepada Islam batal dan tidak sah semalam.

“Pembatalan penukaran agama anak-anak Indira Gandhi kepada Islam oleh bapa mereka adalah yang terbaik yang pernah berlaku di Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing.

“Seorang anak didijaga dan disayangi oleh ibu dan bapa, jadi, kedua ibu bapa harus bersetuju dalam hal agama anak mereka. Jika sebaliknya, ia adalah berat sebelah,” kata Masing yang memimpin parti komponen BN, Parti Rakyat Sarawak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengakhiri pertarungan sembilan tahun Indira dalam mencabar penukaran agama anak-anaknya dari Hindu ke Islam oleh bekas suaminya.

Mahkamah juga menetapkan bahawa penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa. Mahkamah juga berkata perkataan ‘ibu bapa’ dalam perlembagaan kerap disalah tafsir. 

Pemimpin PKR Sarawak Baru Bian menyifatkan keputusan itu sebagai “keputusan penghakiman yang adil dan rasional, yang lama dinanti-nantikan”.

Beliau berharap keputusan itu akan memberi noktah kepada kes-kes penukaran agama di bawah umur.

“Ia juga satu kenyatan yang amat diperlukan berkenaan had kuasa dan bidang kuasa mahkamah syariah,” kata ahli Parlimen Ba’kelalan itu. 

Keputusan penuh setebal 99 muka surat itu dibuat oleh panel lima hakim terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali. – 30 Januari, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen