KEMUDAHAN rawatan pesakit Covid-19 di Selangor masih belum berada pada tahap kritikal walaupun kadar jangkitan meningkat, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ri Ngadiman.
Beliau berkata demikian menjawab laporan Sinar Harian mengenai kemungkinan gelombang baharu Covid-19 pada Disember.
Setakat pukul 8 pagi ini, kata Dr Sha’ri, penggunaan katil hospital untuk pesakit bukan kritikal Covid-19 berada pada 92 peratus atau 1,286 katil.
“Jumlah terkini katil ICU (unit rawatan rapi) dan ICU diguna semula di Selangor, termasuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19, adalah sebanyak 203 katil, dengan kadar penggunaannya sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Sha’ri berkata ICU di hospital hibrid dan hospital bukan Covid-19 turut diisi dengan kes bukan Covid-19.
“Jumlah pesakit ICU terkini yang merupakan kes Covid-19 (disahkan dan disyaki Covid-19) adalah sebanyak 86 kes iaitu sebanyak 42 peratus daripada kapasiti ICU di negeri Selangor. Selebihnya merupakan kes bukan Covid-19.”
Pada masa ini, hanya satu hospital yang ditetapkan sebagai hospital penuh Covid-19 iaitu Sungai Buloh.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang telah dikategorikan sebagai hospital hibrid.
Hospital Shah Alam dan semua hospital daerah di Selangor telah diklasifikasikan sebagai hospital bukan Covid-19, kecuali jabatan kecemasan berstatus hibrid.
Bercakap mengenai kebanjiran pesakit baharu Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Dr Sha’ri berkata hospital itu berfungsi sebagai pusat untuk semua hospital di Lembah Klang dan bukan hanya Selangor.
“ICU Hospital Sungai Buloh juga menerima kes-kes Covid-19 dari hospital lain agar ICU hospital lain boleh digunapakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19.
“Sehingga 8 pagi 18 November 2021, bilangan katil ICU di Hospital Sungai Buloh adalah sebanyak 54 buah katil (96 peratus penggunaan).”
Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) telah dinaik taraf bagi persediaan menghadapi lebih banyak kes Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, katanya.
“Hospital Sungai Buloh disokong juga oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19 ke hospital atau ICU.”
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa memberi amaran kadar kejangkitan di negara ini berada dalam aliran meningkat sejak 10 hari lalu.
Kadar kejangkitan negara ketika ini pada kadar 1.03. Pada 6 Novermber lalu kadar itu berada pada paras 0.92. – 18 November, 2021.
Komen