LEBIH 17 retorik kaum dan agama digunakan ahli politik telah direkodkan semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka setakat 17 November, dedah tinjauan oleh kumpulan belia.
Dalam satu kenyataan, Architects of Diversity (AOD) berkata penggunaan retorik itu dibuat oleh ketiga-tiga gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Kumpulan itu berkata penggunaan itu termasuk tindakan seperti salah maklumat, dan secara palsu membuat atau mengaitkan ancaman politik, ekonomi atau sosial dengan kumpulan kaum atau agama.
AOD merupakan inisiatif bukan bersifat keuntungan yang bertujuan merapatkan komuniti dan kumpulan identiti dalam kalangan belia di Malaysia.
Ia melancarkan kempen #KamiNampak yang menghimpunkan lebih 30 sukarelawan belia untuk memantau kempen pilihan raya di media sosial.
“Sudah tiba masanya ahli politik berhenti mengeksploitasi kaum dan agama semasa berkempen,” kata Mayna Patel, Sekutu Kanan AOD Malaysia.
“Fokus pada dasar dan apa yang mereka boleh buat untuk tingkatkan kehidupan rakyat,” katanya.
Dalam satu contoh #KamiNampak mendedahkan calon Paya Rumput Rais Yasin (BN-Umno) berkongsi semula video TikTok ketua pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi berkata “Hanya Umno dan Barisan Nasional saja boleh menjaga dan memelihara agama kita.. boleh memastikan martabat dan maruah bangsa kita dipelihara. Betul?”
Kumpulan itu berkata laman media sosial rasmi DAP turut mempermainkan isu agama dengan memuat naik catatan membandingkan bilangan cabutan bertuah yang berlaku di bawah pentadbiran berbeza dengan kapsyen “Mengaku kerajaan Melayu-Islam, tapi cabutan undi judi naik 22 kali!” merujuk kepada kerajaan BN dan PN.
Dalam satu kejadian lain, kumpulan itu mendakwa Bendahari Dewan Muslimat PAS Melaka Hawa Yaakub dalam satu video berkata “Kita lihat di Uighur, Kashmir, di mana umat Islam telah dieksploitasi, dihina, diseksa dan ditindas. Di Malaysia juga, kita telah melihat ini bermula dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH.”
Selain itu, katanya, calon Kota Laksamana Benjamin Low Chin Hong (BN-MCA) dilihat dalam satu temu bual berkata “Saya tidak fikir MCA sudah tidak relevan ... Memandangkan ada banyak isu semasa yang berlaku, kebanyakan kita telah lupakan masa lalu… Seperti yang kita lihat hari ini, nama kita masih terdiri daripada tiga huruf. Jika tidak, kita perlu ada tambahan huruf Melayu dalam nama kita. Kasihan.”
“Kita tidak boleh bergerak ke hadapan dengan perpaduan nasional jika pemimpin kita sendiri masih guna strategi polarisasi untuk keuntungan mereka,” kata Jason Wee, pengasas bersama AOD Malaysia.
“Bayang-bayang taktik pecah dan perintah penjajah masih berada dalam sistem politik kita,” katanya.
Kumpulan itu berkata isu kaum atau agama ditakrifkan sebagai retorik politik yang digunakan untuk menonjolkan perbezaan terhadap kumpulan dan idea.
“Naratif ini menyalahkan pelbagai kumpulan untuk masalah sosial, mengukuhkan stereotaip negatif, dan mungkin mewujudkan permintaan untuk dasar yang membahayakan kumpulan kaum atau agama tertentu.”
Rakyat Melaka akan membuang undi pada Sabtu ini. – 18 November, 2021.
Komen