KUMPULAN hak asasi Kuasa meramalkan tujuh kerusi kecil di Melaka akan berdepan persaingan sengit dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.
Tujuh kerusi berkenaan ialah Tanjung Bidara, Asahan, Pantai Kundor, Pengkalan Batu, Lendu, Gadek dan Paya Rumput.
Pada sidang media hari ini Presiden Kuasa Praba Ganesan berkata bagi kerusi pertama daripada tujuh kerusi, Tanjung Bidang dengan calon Bersatu Mas Ermieyati Shamsudin akan memberikan cabaran getir kepada bekas partinya Umno.
“Sejak Mas Ermieyati keluar Umno, dinamik berubah. Walupun Masjid Tanah merupakan kubu tradisi Umno, Mas Ermieyati mempunyai sokongan akar umbi yang diperlukan seperti yang dapat diperhatikan semasa keputusan pemilihan bahagian tahun lepas.
“Maksudnya walaupun beliau dilihat sebagai pemimpin Umno tempatan, terdapat perubahan ketara di mana ada pemisahan besar daripada Umno yang wujud di Masjid Tanah,” katanya.
Tambahnya latar belakang beliau sebagai bekas ketua Puteri Umno juga menjadikan beliau seorang penggerak sosial yang hebat.
Kuasa meramalkan Mas Ermieyati juga akan menjadi calon pilihan Perikatan Nasional untuk jawatan ketua menteri jika beliau dan PN memenangi pilihan raya.
Di Tanjung Bidara, Mas Ermieyati yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah akan berdepan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusof dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH).
Bagi Asahan, Praba menamakan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron (PH) sebagai saingan kuat Umno di kawasan itu.
Beliau berkata berkemungkinan besar Idris boleh memenangi kerusi ini memandangkan zamannya sebagai ketua menteri dan hakikat ramai pengundi mengenalinya.
“Walaupun sebelum ini beliau berada di Sungai Udang, beliau ditempatkan di sini hanya menunjukkan PKR dan Idris yakin dengan peluang bersaing di sini,” katanya.
Idris akan bertanding enam penjuru di Asahan.
Praba juga berkata disebabkan Asahan hanya berjaya memperoleh 45% undi pada PRU lalu, ia bermakna kerusi itu sudah bersedia untuk diambil.
Bagi Pantai Kundor, Praba menyebut faktor Nor Azman Hassan.
Nor Azman dipecat oleh Umno bulan lepas dan bertanding di bawah PH.
Beliau berkata pengundi mungkin tidak menyedari pemecatan Nor Azman daripada Umno dan oleh itu mungkin mengundinya memandangkan beliau adalah penyandang. – 18 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen