Syarikat penerbangan asing tentang peraturan baharu Covid KKM untuk anak kapal


Peraturan baharu Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan dilaporkan boleh menjejaskan dasar persinggahan, yang akan mendorong syarikat penerbangan memilih negara yang dengan peraturan Covid-19 lebih liberal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2021.

SYARIKAT penerbangan asing dilaporkan menunda penerbangan ke Malaysia berikutan garis panduan Covid-19 terkini Kementerian Kesihatan (KKM) untuk anak kapal.

Garis panduan itu mewajibkan semua anak kapal penerbangan tempatan dan asing yang tiba di negara ini menjalani saringan demam dan ujian Rapid Antigen Covid-19 (RTK-Ag), lapor Edge Market.

Arahan itu berkuat kuasa Ahad ini.

Di bawah peraturan tersebut, anak kapal yang disahkan positif dikehendaki menjalani kuarantin hotel/rumah selama tujuh hari di negara ini atau sehingga penerbangan seterusnya dijadualkan.

Portal itu, yang memetik pihak berkepentingan, berkata peraturan itu tidak boleh dilaksanakan dan hanya akan menambah kos tambahan buat penerbangan ke Malaysia dalam industri yang sudah terjejas teruk oleh pandemik.

Di bawah peraturan itu, anak kapal asing, termasuk juruterbang, kru kabin, jurutera, pembawa muatan, juruterbang keselamatan dan latihan, perlu mengambil ujian Covid-19 setiap kali mereka tiba di Malaysia.

Pihak berkepentingan industri berkata jika anak kapal didapati positif merupakan seorang juruterbang, penerbangan itu tidak boleh diterbangkan selama seminggu di Malaysia kerana pesawat itu tidak mempunyai juruterbang untuk penerbangan berjadual seterusnya.

Pihak berkepentingan industri berkata peraturan KKM boleh menjejaskan dasar persinggahan syarikat penerbangan, yang boleh mendorong mereka memilih negara yang mempunyai peraturan Covid-19 lebih liberal seperti Singapura dan Thailand yang membenarkan anak kapal yang didapati positif Covid-19 kembali ke pangkalan kru.

“Itu juga sebab syarikat penerbangan asing pilih untuk guna Singapura dan Bangkok sebagai hab semasa pandemik. Mereka peroleh semua syarikat penerbangan manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur rugi,” kata pihak berkepentingan industri seperti dipetik laporan.

“Jika langkah kuarantin ini dilaksanakan, kita mungkin melihat beberapa syarikat penerbangan asing memutuskan untuk tidak singgah sama sekali di Malaysia kerana langkah sedemikian hanya akan menambah kos operasi mereka,” tambahnya.

Seorang lagi berkata peraturan baharu itu akan menyukarkan pembukaan semula sempadan di Malaysia yang sudah perlahan.

Mereka turut meminta KKM mengkaji dasar kuarantin terbaru Hong Kong dan bagaimana ia telah memaksa syarikat penghantaran gergasi global FedEx Corp untuk menempatkan semula pangkalan anak kapalnya di Hong Kong ke San Francisco.

Semua penerbangan digantung selepas Malaysia menutup sempadannya pada Mac tahun lepas.

Malaysia bersedia untuk membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 Januari. – 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen