Kerajaan baharu Melaka perlu ada pelan jelas pemulihan, kata hotel bajet


Noel Achariam

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata kerajaan baharu perlu terus membantu hotel bajet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 November, 2021.

MANA-MANA parti yang membentuk kerajaan baharu di Melaka perlu ada hala tuju jelas membantu memulihkan hotel bajet daripada pandemik Covid-19 yang bergantung kepada pelancongan, kata pemain industri.

Pentadbiran baharu perlu meneliti dasar dan memberi bantuan sewajarnya kepada pengendali hotel bajet yang terjejas teruk sejak pandemik melanda, kata mereka.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata kerajaan baharu perlu terus membantu hotel bajet.

“Mereka perlu terus bagi bantuan kepada kami. Akan ambil masa untuk kami pulih, jadi buat masa ini kami perlukan bantuan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya pengusaha hotel bajet diberi kelonggaran cukai tempatan dan persekutuan.

“Kami harap dapat bayaran mudah untuk cukai taksiran. Ini akan dapat bantu kami dengan aliran tunai kami.”

Tambahnya mereka mahu exco negeri pelancongan baharu meneruskan promosi pelancongan dan insentif lain.

“Ia adalah tahun yang tidak bagus buat kami. Perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan sempadan tempatan dan antarabangsa telah jejaskan perniagaan kami.

“Pendapatan turun sebanyak 95 peratus dan lebih kurang 30 ahli kami telah tutup kedai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sazali berkata, kerugian yang dialami penggiat industri sejak Januari tahun ini mungkin terjejas lebih kurang RM60 juta.

“Kita perlu berganding bahu (dengan kerajaan baharu). Kita perlu lihat kembali dua tahun lalu dan tambah baik industri kita.

“Sebagai kerajaan negeri yang baharu, mereka mesti fikir tentang rakyat terlebih dahulu sebab ramai yang hilang kerja dan perniagaan.

“Kami telah menderita kerana perniagaan tidak baik malah beberapa hotel dapat pendapatan sifar.”

Melaka akan keluar mengundi Sabtu ini selepas empat Adun menarik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali, yang membawa kepada pembubaran DUN.

Masalah kekurangan tenaga kerja

Sazali berkata, persatuan itu mempunyai 176 ahli yang mengendalikan lebih 200 hotel bajet di seluruh negeri.

“Pada masa ini kira-kira 25 hotel tidak dibuka kerana masih dalam proses pemulihan dan mereka mahu buka dan sedang tunggu Tahun Baharu Cina.

“Isu yang mereka hadapi sekarang, kekurangan tenaga kerja, masalah buruh.

“Mereka tidak dapat pekerja sebab waktu PKP, ada pengusaha terpaksa hentikan kakitangan mereka.

“Mereka sudah minta kakitangan mereka bercuti tanpa gaji, tetapi satu atau dua bulan tidak mengapa. Selepas setahun mereka (kakitangan) telah berhenti.”

Sazali Sabri turut mencadangkan supaya pengusaha hotel bajet diberi kelonggaran cukai tempatan dan persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 November, 2021.

Beliau berkata, apabila pengusaha membuka semula perniagaan, mereka telah memanggil semula kakitangan mereka tetapi tidak ramai yang menerima tawaran mereka yang sekali gus menjejaskan industri.

“Jadi, sukar bagi pemilik untuk mengendalikan hotel mereka. Jadi, kita alami kekurangan tenaga kerja kerana kita tidak boleh upah warga asing.

“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan bagi kelonggaran dan penyelesaian untuk masalah ini.”

Sazali berharap kerajaan dapat selesaikan masalah kekurangan buruh.

Beliau juga berkata ada tanda-tanda peningkatan, terutamanya selepas rentas negeri dibolehkan.

“Ada pelancong masuk dan aktiviti perniagaan bermula semula.

“Hotel, restoran dan tarikan pelancong telah mula dibuka semula.

“Sekarang kami makin pulih, kami harap sempadan antarabangsa akan dibuka tidak lama lagi.”

Tambahnya rakyat Singapura merupakan salah satu sumber pendapatan utama bagi pasaran hotel bajet Melaka.

“Pada hujung minggu beberapa hotel boleh dapat sampai 30 peratus penghunian dengan orang Singapura.

“Melaka kebanyakannya melayan pelancong domestik, dengan kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus adalah pelancong asing di mana sebahagian besarnya dari Singapura dan China.”

Bagi kadar penghunian, beliau berkata semasa PKP hotel hanya menampung kira-kira 2 peratus hingga 3 peratus pengunjung.

Beliau berkata sejak rentas negeri dibenarkan, beberapa ahli mereka mula menikmati kadar penghunian 30 peratus hingga 40 peratus pada hari bekerja dan ia boleh meningkat sehingga 60 peratus pada hujung minggu.

“Kami harap kerajaan akan buka sempadan antarabangsa. Kita sudah berada di fasa endemik, jadi perkara yang paling penting; patuh SOP.” – 18 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen