RAKYAT Melaka perlu undi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang bagi memastikan kestabilan kerajaan dan mengembalikan keyakinan pelabur, kata pengarah pilihan raya BN Mohamad Hasan.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata pelabur mahu kerajaan yang ditubuhkan oleh parti atau gabungan yang stabil dan mempunyai pengalaman untuk menerajui negara atau negeri.
“Faktor yang paling penting ialah parti. Parti teras di sini adalah Umno dan BN, yang mempunyai pengalaman lama dalam mentadbir negara.
“Apabila parti ini mendapat mandat yang baik daripada rakyat pada pilihan raya akan datang dan boleh menubuhkan kerajaan dengan majoriti yang kukuh, barulah kita dapat mencapai kestabilan.
“Apabila kita mencapai kestabilan, rakyat di Melaka akan menyaksikan Melaka sebagvai negeri yang stabil. Stabil dari segi politik. Jadi pelabur akan datang,” kata timbalan presiden Umno pada program dengan calon ketua menteri Melaka BN Sulaiman Md Ali.
Menggelar Malaysia sebagai ‘kesayangan pelabur asing’, Tok Mat membidas pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebagai kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri Melaka, dengan mengatakan ketidaktentuan hala tuju mereka, dan ketidakupayaan mereka menyelesaikan isu perdana menteri, memecahkan kepercayaan pelabur dan menyebabkan mereka melabur di negara jiran yang lain.
“Siapa yang mahu melabur di negara atau negeri yang tidak stabil. Orang akan takut jika mereka meletakkan modal di sana, takut modal mereka akan hilang. Tetapi jika negara itu stabil, pelabur tidak akan teragak-agak untuk melabur.
“Sebab itu selama 22 bulan PH yang mentadbir negara ini tidak tentu hala tuju. Dari hari pertama mereka bercakap tentang menggantikan perdana menteri, sehinggalah akhirnya mereka berpecah.
Mohamad berkata pada satu ketika Malaysia adalah ‘Pelaburan langsung Asing yang disayangi’.
Beliau berkata pelabur datang dan melabur kerana ia stabil.
Sulaiman turut membidas PH dengan mendakwa mereka hanya membawa masuk pelaburan RM350 juta ke Melaka semasa mereka menjadi kerajaan negeri.
Sulaiman berkata sebaliknya, beliau berjaya mencapai perjanjian bernilai RM3.2 bilion dalam tempoh beberapa bulan selepas memegang jawatan sebagai ketua menteri.
“Sepanjang 22 bulan PH memerintah, saya menjadi pembangkang. Saya boleh katakan hanya RM350 juta yang dibawa sebagai pelaburan. Kenapa? Kerana pelabur melihat Melaka diperintah oleh kerajaan yang tidak stabil dan mereka yang berkuasa tidak mempunyai rekod prestasi dalam mengurus dan mentadbir.
“Tetapi apabila kerajaan dikembalikan kepada kami, saya mengambil alih kuasa pada 9 Mac (2020) dan menjelang 31 Disember, kami mencapai perjanjian pelaburan sebanyak RM3.2 bilion.
“Ini adalah semasa pandemik Covid-19 apabila sempadan antarabangsa masih ditutup dan perjalanan rentas daerah adalah mustahil. Namun, kami membawa perjanjian RM3.2 bilion dalam sektor pembuatan,” kata Sulaiman.
Rakyat di negeri Melaka akan keluar mengundi pada 20 November ini.
Pakatan Harapan memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu tetapi kerajaan negeri tumbang berikutan pembelotan yang membolehkan kerajaan pimpinan Umno mengambil alih.
Bagaimanapun, kerajaan negeri itu juga dijatuhkan, selepas empat Adun, termasuk dua daripada Umno, menarik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali. – 17 November, 2021.
Komen