MALAYSIA melaporkan 6,288 jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, kedua tertinggi sejak 12 November, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Beliau berkata kes baharu hari ini menjadikan jangkitan terkumpul kini sebanyak 2,563,153 kes.
Pada Jumaat lalu (12 November), negara mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh tiga minggu dengan 6,517 jangkitan.
Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik ke portal CovidNow selepas tengah malam.
Purata tujuh hari R-naught kini berada pada 1.04, menurun berbanding 1.05 pada semalam.
Kadar kemasukan ke hospital pada purata tujuh hari menunjukkan peningkatan 7 peratus dengan 68 peratus daripada katil hospital digunakan di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak 22.3 juta individu atau 95.4 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 setakat semalam.
Berdasarkan portal CovidNow Kementerian Kesihatan, 22.9 juta individu atau 97.7 peratus daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja pula, 81 peratus atau 2.54 juta telah lengkap divaksin, manakala 87.2 peratus atau 2.74 juta telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 17 November, 2021.
Komen