Polis cari editor Sarawak Report berbau pengaruh politik, kata Anwar


Aminah Farid

Presiden PKR Anwar Ibrahim memuji Clare Rewcastle Brown (gambar) yang membangkitkan isu rasuah dan nasib orang asli di Sarawak selain kemudaratan alam sekitar berpunca daripada amalan perniagaan yang menyalahi undang-undang dan tidak bermoral. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

TINDAKAN terbaharu Polis Diraja Malaysia mencari editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown hanya berbau pengaruh politik yang ketara, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata beliau terganggu dengan rayuan polis baru-baru ini yang mengeluarkan poster dikehendaki terhadap Rewcastle Brown.

“Menunjuk kepada awam tidak perlu, itu berbau pengaruh politik yang kesat dan menambah satu lagi kegelapan pada rekod Malaysia mengenai kebebasan akhbar dan penghormatan terhadap hak asasi manusia untuk bebas bersuara, kedua-duanya penting kepada demokrasi yang berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 November Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan meminta orang ramai memberi maklumat mengenai Rewcastle Brown, yang gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah  Nur Zahirah.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kempen menentang Rewcastle Brown semakin membimbangkan sedangkan tindakan serupa tidak pula diambil terhadap penjenayah terkenal lain, seperti Jho Low. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

Ia muncul lebih kurang sebulan selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap editor Sarawak Report itu.

Rewcastle Brown berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan berunsur fitnah melalui buku “The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Anwar berkata kempen menentang Rewcastle Brown semakin membimbangkan sedangkan tindakan serupa tidak pula diambil terhadap penjenayah terkenal lain, seperti Jho Low.

“Tidak kira apa pun dakwaan terhadap Rewcastle Brown, beliau ada maruah dan penghormatan yang sama seperti mana-mana individu lain di Malaysia yang dituduh,” katanya.

Minggu lalu, Rewcastle Brown memberitahu portal berita dalam talian beliau kasihan terhadap polis yang telah diarahkan untuk membuka semula kes yang telah diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ pada 2018.

Anwar memuji Rewcastle Brown dalam usahanya yang tidak henti-henti membangkitkan isu rasuah dan nasib orang asli di Sarawak dan kemudaratan alam sekitar yang berpunca daripada amalan perniagaan yang menyalahi undang-undang dan tidak bermoral, khususnya dalam industri pembalakan dan pembangunan.

“Clare Rewcastle Brown telah dan terus menerus membuat khidmat yang besar kepada rakyat Malaysia dan, khususnya mereka yang kehilangan hak milik di Sarawak dengan meningkatkan kesedaran dan mendedahkan perbuatan salah,” katanya.

Beliau berkata ia mewakili tindakan teladan kemanusiaan yang terlalu jarang dilihat di Malaysia.

“Walaupun Malaysia sememangnya sebuah negara yang berlandaskan undang-undang dan aturan, ia juga perlu berusaha untuk sentiasa memperbaiki dirinya sebagai sebuah negara yang adil dan saksama,” katanya.

“Di mana perbicaraan dan layanan yang adil mendahului hukuman, yang hanya dikenakan atas perintah badan kehakiman bebas kita,” katanya.

“Wartawan, pemberi maklumat, dan aktivis tidak sepatutnya dicap sebagai penjenayah tanpa perbicaraan yang adil, terutamanya apabila mereka memperjuangkan keadilan yang sama yang kita semua mahukan di Malaysia hari ini,” tambahnya. – 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen