MIC minta PNB benar keturunan Punjabi mohon saham AS1M


Kamles Kumar

Mereka yang mempunyai 'Punjabi, Sikh dan Kaur' tertera pada kad pengenalan dan sijil kelahiran tidak dibenarkan untuk membeli saham AS1M kerana sistem sistem Permodalan Nasional Bhd (PNB) tidak mengiktiraf mereka sebagai orang India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2018.

TIMBALAN Presiden MIC, SK Devamany menuntut Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membenarkan masyarakat keturunan Punjabi untuk memohon unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Ini kerana, sistem PNB pada waktu ini hanya membenarkan keturunan “India” untuk memohon unit AS1M dan bukan sub-etnik lain, katanya.

Menurut Devamany, perkara itu menimbulkan kekeliruan di kalangan golongan keturunan Punjabi yang cuba mendaftar untuk memohon saham berkenaan.

Walhal unit amanah AS1M itu sudahpun diperluaskan kepada rakyat Malaysia berketurunan India di bawah Bajet 2018, katanya.

“Sistem itu hanya menunjukkan mereka bukan ‘India’ jika mendaftar sebagai ‘Punjabi’. Ia akan secara automatik menolak (permohonan keturunan Punjabi),” kata Devamany kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Kumpulan PNB, Abdul Wahid Omar, dalam sepucuk surat.

“Saya sudah menulis kepada PNB dan minta mereka untuk pertimbang semula perkara ini. Kami merayu supaya mereka buat pengecualian untuk orang India yang tidak didaftarkan sebagai berketurunan India.”

Jelasnya, beliau turut memaklumkan bahawa golongan yang dinyatakan sebagai keturunan “Punjabi, Sikh dan Kaur” dalam kad pengenalan dan sijil kelahiran tidak dibenarkan untuk mendaftar untuk saham AS1M kerana sistem itu tidak mengiktiraf mereka sebagai orang India.

Devamany yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri menggesa PNB yang menguruskan AS1M dan Jabatan Pedaftaran Negara (JPN) supaya menyelesaikan masalah ini memandangkan saham itu terhad.

Proses pendaftaran bagi pelbagai transaksi di Malaysia kebiasaannya memerlukan pemohon menyatakan keturunan mereka dan pilihan itu sering dihadkan kepada Melayu, Cina dan India.

Sementara itu, PNB dalam satu kenyataan pada petang ini menjelaskan, pendaftaran untuk unit saham berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat kad pengenalan.

“Pendaftaran bagi kesemua tabung unit amanah di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB, adalah mengikut kepada maklumat dalam Kad Pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

“Oleh yang demikian, kesemua rakyat warganegara Malaysia yang mendaftarkan diri mereka sebagai berketurunan India dalam sistem JPN adalah layak melabur dalam skim ini,” kenyataan itu dipetik.

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pembukaan saham AS1M kepada rakyat Malaysia berketurunan India selepas 1.5 bilion unit ditambah. Menurut Presiden MIC Dr S. Subramaniam, seramai 50,000 keturunan India dijangkan akan menerima manfaat dari saham itu.

Langkah itu pertama kali diperkenalkan ketika Najib membentangkan Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu. Agihan AS1M oleh Amanah Saham Nasional Berhad dibuka sehingga saham habis dijual. – 30 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen