Kes Covid-19 meningkat, Ireland kembali laksana langkah kerja dari rumah


Ireland kembali mengenakan perintah bekerja dari rumah selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan. – Gambar EPA, 17 November, 2021.

IRELAND semalam meminta orang ramai untuk kembali bekerja di rumah sambil mengembangkan program vaksinasi dos penggalak Covid-19 dan skim pensijilan apabila kadar kes serta kemasukan ke hospital akibat wabak itu meningkat.

Dalam siaran televisyen, Perdana Menteri Michael Martin berkata negara itu berdepan “satu lagi lonjakan jangkitan Covid-19” dan beliau perlu “bertindak sekarang”.

“Nasihat kami sekarang semua orang perlu bekerja dari rumah melainkan jika benar-benar perlu hadir ke pejabat,” katanya.

Martin berkata skim pas Covid-19 Ireland berdasarkan vaksinasi atau pemulihan daripada virus itu, kini secara sah akan memasukkan pawagam dan teater manakala bar dan pub kini perlu ditutup pada tengah malam.

Beliau juga berkata dos penggalak vaksin akan diperluaskan kepada semua individu yang mempunyai penyakit dan mereka berusia lebih 50 tahun.

Menurut Martin, inggu lalu menyaksikan kadar kemasukan hospital kedua tertinggi akibat koronavirus tahun ini.

Walaupun Ireland merupakan salah satu daripada negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia dengan kira-kira 90% daripada 12 tahun ke atas sudah divaksin sepenuhnya.

Negara itu hanya dibuka semula sepenuhnya pada 22 Oktober selepas 18 bulan sekatan pergerakan diperkenalkan untuk mengekang wabak jangkitan.

Angka rasmi merekodkan 4,407 kes baharu semalam yang menunjukkan peningkatan pada minggu sebelumnya manakala lebih 5,500 orang meninggal dunia akibat virus itu di negara mempunyai penduduk sekitar lima juta.

Tindakan Dublin mengenakan semula beberapa peraturan menggambarkan beberapa negara Eropah lain turut bergelut dengan peningkatan jangkitan sama. – AFP, 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen