Utamakan industri pelancongan di Melaka, kata pengusaha


Noel Achariam

Pengusaha pelancongan berharap kerajaan negeri baharu akan memberi keutamaan kepada industri pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

KECEWA dengan kejatuhan kerajaan Melaka ketika rentas negeri dibenarkan, pengusaha pelancongan kini mahu pentadbiran negeri akan datang mengutamakan industri itu sebaik sahaja mereka memerintah.

Pengusaha tidak peduli parti mana yang akan berkuasa kerana mereka mahu tumpuan diberikan kepada pemulihan dan kestabilan.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka Goh Hock Gin berkata mereka kecewa kerana pilihan raya diadakan hanya apabila sempadan negeri dibuka.

“Kami menjangkakan industri akan pulih tetapi keadaan tidak berjalan seperti dirancang terutamanya dengan pilihan raya diadakan sekarang.

“Kami bimbang tentang keadaan ini. Jika kita tutup sekali lagi, saya benar-benar tidak tahu bagaimana negeri ini akan pulih semula,” kata Goh kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan sebagai sebuah negeri pelancongan, ia tidak semudah itu (untuk pulih) daripada kemelesetan.

“Kami berharap sesiapa yang mentadbir negeri akan memberi keutamaan kepada industri pelancongan kerana bagi Melaka, ekonomi berkembang maju melalui pelancongan.”

Pengundian untuk pilihan raya adalah pada 20 November selepas empat Adun menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Goh berkata industri pelancongan adalah yang pertama terjejas semasa wabak tahun lepas dan yang terakhir pulih.

“Pemulihan sekarang sangat perlahan. Ia tidak akan mudah. ​​Apabila kami mendengar perjalanan antara negeri dibenarkan lagi, kami semua teruja.

“Sudah pasti kami menantikan hari yang lebih baik. Malangnya, pilihan raya negeri perlu diadakan.”

Pengerusi Matta Melaka, Goh Hock Gin berkata industri pelancongan adalah yang pertama terjejas semasa wabak tahun lepas dan yang terakhir pulih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 November, 2021.

Goh berkata sejak rentas negeri dibenarkan, hotel, taman tema dan tarikan lain menyaksikan peningkatan 60% pengunjung pada hujung minggu dan sehingga 30% kenaikan pada hari bekerja.

“Pilihan raya menjejaskan pelancongan di negeri ini. Kita sepatutnya mencapai kira-kira 60% tetapi sekarang terdapat penurunan sekurang-kurangnya 20%.

“Jika pilihan raya tidak diadakan, ia (pelancongan) akan menjadi lebih baik. Tetapi ketakutan (jangkitan) masih belum reda.”

Goh berkata sejak wabak itu bermula, 21 pengusaha pelancongan menutup perniagaan mereka.

“Dulu kami mempunyai 78 ahli tetapi kini turun kepada 57 ahli,” katanya.

“Wabak ini memberi kesan teruk kepada industri pelancongan. Semua orang bimbang tentang situasi Covid-19.”

Goh berharap kerajaan negeri menstruktur semula industri pelancongan.

“Ia mesti melihat kepada pemasaran dan promosi pelancongan untuk Melaka.

“Tidak banyak bantuan diberikan kecuali Penjana (skim bantuan kerajaan) tetapi bantuan RM1,000 tidak mencukupi,” katanya. – 17 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen