PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan caruman mereka semasa pandemik Covid-19 perlu bekerja antara empat hingga enam tahun lagi untuk menampung simpanan yang mereka keluarkan, kata menteri kewangan.
Katanya, pengeluaran berkenaan mengurangkan jumlah ahli KWSP yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada umur 55 tahun daripada 36% pada 2020 kepada 27% menjelang hujung tahun ini.
“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun secara tambahan untuk membina semula simpanan yang dikeluarkan semasa pandemik,” kata menteri kewangan, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Rekod KWSP juga katanya menunjukkan mereka yang berumur antara 45 hingga 59 tahun mempunyai simpanan melebihi RM50,000 tetapi jumlah itu bukan selesa untuk mereka bersara.
“Secara amnya, amaun RM50,000 hanya cukup untuk memberi pendapatan persaraan sekitar RM200 sebulan bagi 20 tahun, atau RM1,000 sebulan untuk lebih kurang 4 tahun.
“Memandangkan golongan umur ini hanya memiliki tempoh kurang 15 tahun daripada umur persaraan, mereka berhadapan cabaran untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi,” katanya.
Kenyataan itu menjawab soalan Ahli Parlimen Dr Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh-PH) yang meminta perbandingan maklumat mengenai pencarum yang berumur 45 tahun dan ke atas antara tahun ini dan 2019.
Atas desakan pelbagai pihak terutamanya Umno, pentadbiran Perikatan Nasional membenarkan pengeluaran caruman KWSP bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Beberapa pihak bagaimanapun pada masa itu menyuarakan kebimbangan kelonggaran tersebut akan menyusahkan pencarum, dan juga kerajaan, pada masa akan datang.
i-Lestari membolehkan pengeluaran maksimum RM6,000 daripada Akaun 2, sementara i-Sinar pula membenarkan pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bergantung baki simpanan pencarum.
i-Citra pula yang diumumkan melalui Belanjawan 2021 membenarkan pengeluaran sehingga RM5,000 tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 1 dan Akaun 2.
Menurut menteri kewangan, susulan pengeluaran yang berjumlah sehingga RM101 bilion melalui tiga skim itu, 6.1 juta pencarum KWSP kini ada kurang RM10,000 dalam akaun mereka, dengan 3.6 juta daripadanya kurang RM1,000.
Daripada jumlah itu, kedudukan simpanan pencarum Bumiputera paling membimbangkan.
“Seramai 4.4 juta, atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2 juta, atau 25%, mempunyai kurang daripada RM1,000,” katanya.
Jelas menteri kewangan, walaupun tiga inisiatif pengeluaran caruman itu melegakan rakyat semasa pandemik, ia juga menjadikan mereka lebih rentan dan tidak mempunyai perlindungan persaraan.
“Hampir tiga perempat ahli kini berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya. – 16 November, 2021.
Komen