MALAYSIA mencatatkan 5,413 jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata ini naik sedikit berbanding hari sebelumnya dengan 5,143 jangkitan dilaporkan.
Dengan kes baharu hari ini, negara merekodkan sejumlah 2,556,865 sejak wabak itu bermula.
Pecahan mengikut negeri akan dimuat naik ke portal CovidNow selepas tengah malam.
Purata R-naught tujuh hari kini berada pada kadar 1.05, peningkatan daripada beberapa minggu lalu apabila negara mencatatkan di bawah 1.0.
Kadar kemasukan ke hospital negara pada purata tujuh hari menurun daripada 10% semalam kepada 9% hari ini dengan 69% penggunaan katil hospital di seluruh negara.
Sementara itu, sejumlah 22.3 juta individu atau 95.3% daripada populasi dewasa Malaysia sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 setakat semalam.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal CovidNow, 97.7% atau 22.88 juta populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, 80.4% atau 2.53 juta remaja berumur antara 12 dan 17 tahun sudah melengkapkan vaksinasi mereka dan 87% atau 2.74 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 16 November 2021
Komen