Kerajaan akan pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, kata Wan Junaidi


Chan Kok Leong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan kenal pasti kelemahan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan sedang meneliti untuk pinda undang-undang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2021.

KERAJAAN sudah mengenal pasti kelemahan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan sedang meneliti untuk meminda undang-undang itu bagi meningkatkan keberkesanannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Cadangan pindaan berkenaan, yang melibatkan tujuh kelemahan yang berbangkit, akan dibentang kepada Jemaah Menteri bulan depan, katanya.

“Tujuh langkah yang perlu diambil kira ini masih dalam kajian dan penelitian jawatankuasa kerja pindaan akta tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.

Antara kelemahan yang dikenal pasti termasuk tiadanya mekanisme aduan dalaman melibatkan agensi bukan penguatkuasaan, jelasnya.

“Akta itu juga tiada sebuah agensi untuk mengurus aduan yang diterima,” katanya, menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH).

Anwar meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat serta keberkesanannya melindungi pemberi maklumat dalam kes-kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.

Dalam penjelasannya Wan Junaidi yang menjaga hal ehwal undang-undang dan Parlimen berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat juga bertentangan dengan beberapa undang-undang lain termasuk Kanun Kesiksaan.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu Dewan Rakyat pihak berkuasa menerima 73,545 laporan daripada 527 pihak yang dibuat bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dalam tempoh 10 tahun antara 2011 dan 2021.

Kebanyakan laporan itu pula berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diterima antara 2012 dan 2016. Laporan berkaitan skandal 1MDB berjumlah 11,819 dan dibuat oleh 429 pengadu, katanya.

Secara umumnya, laporan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dibuat kepada tujuh agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. – 16 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen