INDIA semalam membuka sempadan kepada pelancong asing dengan perjanjian timbal balik selepas mengenakan larangan selama 20 bulan akibat pandemik Covid-19.
Pengendali pelancongan berkata bagaimanapun permintaan sangat perlahan disebabkan harga tiket yang tinggi dan sekatan yang masih ada ke atas pelancong dari Britain, China dan tempat lain.
Negara yang terkenal dengan Taj Mahal mengenakan sekatan terhadap pelancong asing pada Mac 2020 ketika wabak melanda negara itu.
Tetapi selepas lonjakan teruk dalam kes Covid-19 awal tahun ini, jumlah jangkitan kemudian menurun mendadak dan didesak oleh industri yang merupakan tonggak penting ekonomi, kerajaan mula mengumumkan kelonggaran itu bulan lalu.
Visa pelancong dikeluarkan untuk warga asing yang divaksin sepenuhnya dari negara-negara dengan aturan timbal balik yang tiba dengan penerbangan sewa mulai 15 Oktober.
Ini diperluaskan untuk memasukkan penerbangan lain semalam.
Pelawat dari negara yang diluluskan boleh mendapatkan visa pelancong dalam talian dan hanya perlu memantau kesihatan mereka selama 14 hari selepas tiba.
Tetapi mereka dari Britain, Kesatuan Eropah, China, Brazil, Afrika Selatan dan tempat lain tertakluk kepada langkah tambahan termasuk ujian Covid-19 semasa ketibaan.
Separuh juta visa pertama juga percuma.
Presiden Persatuan Pengusaha Pelancong India Rajeev Mehra berkata ketibaan dijangka hanya menncapai sekitar lima peratus daripada tahap pra-pandemik dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami mendapat pertanyaan dan kami memberi mereka sebut harga tetapi apabila mereka melihat tambang penerbangan mahal, mereka memberitahu akan datang kemudian.
“Jika keadaan kekal stabil di peringkat global, kami menjangkakan pelancong akan mulai datang pada musim Oktober 2022,” katanya kepada AFP.
Goa, destinasi popular di selatan India akan menyaksikan penerbangan sewa pertamanya dari Britain mendarat pada 13 Disember, lapor Times of India pada akhir Oktober. – AFP, 16 November, 2021.
Komen