Peratusan pengundi akan rendah, sukar baca 9 kerusi marginal, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam Elill Easwaran

Peratusan pengundi yang mengundi pada PRN Melaka dijangka rendah kerana perubahan pola pengundian dan kebimbangan penularan Covid-19.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 November, 2021.

KEPUTUSAN pengundian di sembilan kerusi marginal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung minggu ini sukar dijangka kerana jumlah pengundi yang keluar mengundi akan lebih rendah berbanding semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis.

Peratusan pengundi yang mengundi dijangka rendah kerana perubahan pola pengundian dan kebimbangan penularan Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar.

Katanya, sembilan kerusi marginal itu kini terbuka kepada sama rata kepada semua pihak yang bertanding.

“Sekarang sudah berselerak, tapi sebagai panduan boleh dikatakan yang dulu kawasan kuat BN sekarang sudah cair dan terbuka kepada mana- mana pihak yang boleh memikat pengundi,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Semasa PRU14, sembilan kerusi neger Melaka dimenangi dengan majoriti tidak sampai 1,000 undi. Enam daripada kerusi ini dimenangi oleh BN melalui Umno iaitu Lendu (627 undi), Taboh Naning (740), Asahan (275), Pantai Kundor (772), Rim (536), dan Merlimau (130).

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh PH iaitu Klebang (PKR-789), Gadek (DAP-307), dan Durian Tunggal (Amanah-763).

Menurut Hisomuddin, baik BN mahupun PH, tiada yang mampu menang mudah atau mengekalkan kemenangan mereka di sembilan kerusi itu.

Perang poster mula menghiasi kawasan Pantai Kundur di Melaka berikutan pilihan raya negeri yang akan berlangsung 20 November ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2021.

Tiada isu besar

PRN Melaka juga tidak melibatkan isu besar yang mampu melonjakkan bilangan pengundi untuk keluar dan membuat peralihan undi seperti PRU14.

“Faktor itu kami dapati tidak wujud dalam PRN kali ini, ini juga disepakati pengundi.

“Dalam kempen ini tiada isu dominan yang mempengaruhi pemikiran mereka seperti 1MDB, GST.

“PH pun tidak menjuarai dan tiada isu diangkat menjadi naratif utama menambat hati pengundi, boleh dikatakan tidak ada,” katanya.

Bagi Ali Isa, 62, yang mengundi di Gadek, hanya ada satu isu sahaja yang ada dalam fikirannya iaitu penyelewengan melibatkan pasir oleh pemimpin politik di Melaka.

Isu itu antara penyebab BN kalah kerusi DUN Gadek kepada DAP yang mewakili PH dalam PRU14, kata Ali yang bekerja kontrak dengan pendapatan tidak menentu tetapi purata RM1,000 sebulan.

Katanya, semasa PH jadi kerajaan negeri aktiviti itu terhenti tetapi kembali rancak selepas pentadbiran kerajaan bertukar kembali kepada BN.

“Kalau nak terus terang, kali ini saya nak bagi peluang kepala calon Bebas. Saya akan undi calon Bebas, kalau dia menang saya nak tengok apa dia buat,” katanya.

Ali hendak mengundi calon bebas kerana rimas dengan tindak-tanduk ahli politik yang melompat sehingga mencetuskan PRN Melaka.

Selain kerusi marginal, Gadek juga antara tiga kerusi yang ditandingi enam calon termasuk Asahan dan Duyong.

Tidak keluar mengundi

Sementara itu, pengundi di Pantai Kundor Azman Atan, 55, berpendapat selain muak dengan perangai ahli politik, banyak pengundi tidak akan keluar untuk mengundi kerana khuatir dijangkiti Covid-19.

“Jiran-jiran keliling rumah saya memang tak berani nak keluar mengundi dengan keadaan penyakit.

“Mereka fikir dalam keadaan macam ini kalau kena jangkitan, satu keluarga mereka kena Covid-19,” katanya.

Azman yang menyokong BN pada PRU14 berkata beliau tidak kisah siapa pun yang menang hujung minggu ini asalkan kebajikan rakyat yang terkesan akibat Covid-19 terbela.

“Siapa menang tak kisah, saya nak rakyat sejahtera sahaja,” katanya.

Pengundi Melaka sejuk

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan hanya sekitar 70% pengundi yang akan mengundi hujung minggu ini berbanding 84.5% semasa PRU14.

Hisomuddin juga mendedahkan tinjauan Ilham Centre dalam kalangan pengundi juga menunjukkan mereka tidak teruja dengan pilihan raya.

“Kebanyakannya tunggu dan lihat, itu yang menyebabkan PRN di Melaka ini dingin.

“Dengan sejuknya pengundi sukar untuk diagak sikap mereka, adakah kekal dengan undi pada PRU14 atau berubah kepada pilihan mereka yang lain,” katanya.

Hisomuddin juga berkata undi kepada Bersatu pada PRU14 juga bukan lagi petunjuk selepas parti itu keluar daripada gabungan PH dalam percaturan politik hujung Februari 2020.

“Undi yang Bersatu dapat sebelum ini kita tak boleh kata undi yang Bersatu akan dapat kali ini, Bersatu akan berdepan kesukaran mendapat sokongan.

“Bersatu hanya bergantung kepada undi Melayu yang bersama mereka dan undi PAS, itu dimasukkan ke dalam sokongan kepada Bersatu,” katanya.– 16 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen