Komuniti Portugis mahu kerajaan baharu Melaka beri layanan adil


Noel Achariam

Komuniti Portugis di Melaka mahu kerajaan negeri baharu berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira parti yang disokong mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 November, 2021.

KERAJAAN baharu yang akan dibentuk selepas pilihan raya Melaka mesti berlaku adil kepada masyarakat Portugis tanpa mengira parti politik yang disokong, kata pemimpin komuniti Marina Danker.

Marina memberitahu The Malaysian Insight mana-mana parti yang mengambil alih kerajaan negeri perlu membantu masyarakat tanpa mengira siapa yang mereka undi.

“Itu akan menjadi tanda kepimpinan yang baik. Kerajaan negeri mesti adil kepada semua orang. Bantu kami secara adil dan saksama.

“Kita perlukan mereka (kerajaan baharu) turun dan tidak lihat sama ada rakyat di sini (penyokong) Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan,” katanya.

Pengundian bagi pilihan raya negeri akan berlangsung pada 20 November selepas empat Adun menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan kerajaan pimpinan Umno, yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Marina, yang mengetuai jawatankuasa pembangunan dan keselamatan komuniti perkampungan Portugis, berkata kerajaan negeri baharu mesti memahami rakyat memerlukan mereka.

“Tugas mereka adalah menjaga rakyat semasa (wabak) ini.

“Jadi mana-mana kerajaan selepas pilihan raya, mereka tidak seharusnya menilai rakyat berdasar parti mana yang mereka sokong.”

Beliau berkata adalah penting bagi semua pihak dalam kerajaan negeri melihat yang mereka (komuniti perkampungan Portugis) juga adalah rakyat.

“Jadi, semua orang harus diberi layanan yang sama. Jangan pilih-pilih,” kata Marina.

“Pemimpin yang dipilih tidak boleh berkata, ‘ini orang saya, parti saya dan saya akan membantu mereka kerana mereka menyokong saya’. Itu tidak betul.”

Mengenai isu yang mereka hadapi di perkampungan itu, beliau berkata kebanyakan rakyat hilang pekerjaan kerana wabak Covid-19.

“Ia memberi kesan buruk kepada masyarakat. Pelbagai perintah kawalan pergerakan menjejaskan penduduk kerana dua pertiga daripada mereka daripada kumpulan B40.

“Kebanyakan belia di sini bekerja dalam industri perhotelan. Mereka kehilangan pekerjaan. Mereka semua memerlukan bantuan.”

Marina Danker berkata rakyat memerlukan bantuan kerajaan negeri untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama semasa pandemik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 November, 2021.

Nelayan terjejas

Pada masa ini terdapat hampir 1,000 penduduk tinggal di 118 rumah di perkampungan itu. Sebanyak 600 lagi penduduk tinggal di kawasan sekitar.

“Malah ada yang mempunyai lebih daripada satu keluarga yang tinggal serumah. Mereka mendapat bantuan kerajaan tetapi ia tidak mencukupi untuk mereka meneruskan hidup.

“Kami bertuah kerana mempunyai banyak kumpulan masyarakat sivil, badan kerajaan dan jiran yang sangat prihatin dan memberikan bantuan makanan.

Beliau juga berkata nelayan di penempatan itu terjejas teruk akibat wabak itu serta musim tengkujuh.

“Isu tebus guna tanah menyukarkan mereka turun ke laut. Mereka kini perlu pergi jauh untuk mendapatkan tangkapan.

“Ada di antaranya mempunyai bot kecil, ombak sekarang besar dan berbahaya bagi mereka.

“Sejak empat hingga lima bulan lalu, mereka terjejas. Mereka mendapat subsidi bulanan sebanyak RM300 daripada kerajaan. Walaupun jumlahnya kecil, ia masih membantu.”

Terdapat kira-kira 80 nelayan di sini yang mempunyai 40 bot.

Mengenai nasib restoran di penempatan itu, beliau berkata kesemua 14 restoran sudah dibuka sepenuhnya bulan lepas selepas ditutup selama berbulan-bulan.

“Kebanyakan restoran dibuka pada hujung minggu. Dengan perjalanan rentas negeri dibenarkan, terdapat lebih ramai pelanggan sekarang.”

Marina juga berharap kerajaan negeri baharu dapat membantu dengan infrastruktur dan sistem perparitan di kawasan itu. – 16 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen