APABILA Muhyiddin Yassin mengepalai dan merestui seluruh Bersatu dan beberapa katak politik yang dipimpin Mohamed Azmin Ali menyusun plot untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH), pada masa itu mereka fikir tindakan merekalah yang paling bermoral dan betul.
Mereka lupa, susulan Langkah Shareton kita mula mendengar istilah “pengkhianat” dalam pentas politik negara pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelumnya.
Hakikatnya, PH tumbang kerana Bersatu dan beberapa konconya meninggalkan mereka tanpa sebab dan alasan jelas. Itulah pengkhianatan. Itulah fakta. Tiada pertikaian.
Peliknya, individu yang sebelum ini menjadi silent mastermind dan punca kejatuhan PH yang dipilih oleh rakyat secara sah, kini mula ke sana ke sini.
Mencanang beliau mangsa yang dikhianati Umno. Kerana Umno menarik sokongan ke atas Perikatan Nasional (PN) dan beliau pun jatuh daripada terus menjadi perdana menteri.
Berbeza dengan tindakan Muhyiddin dan Bersatu yang meninggal dan menjatuhkan PH tanpa sebab, Umno sebenarnya mempunyai alasan yang jelas untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Sebab Umno tarik sokongan
Pertama, pengisytiharan darurat serta pemandulan Parlimen dan institusi demokrasi yang lain tidak pun menyebabkan usaha memerangi Covid-19 pada ketika itu menjadi lebih baik.
Perdana menteri diharapkan tampil dengan pelan serta strategi baharu yang lebih berkesan, tetapi saranan serta kebimbangan Umno tidak diendahkan.
Kedua, kerajaan yang diterajui oleh Muhyiddin sedang dalam kegagalan.
Gerakan massa seperti #KerajaanGagal, #Lawan dan #BenderaPutih adalah petunjuk jelas dan kuat daripada masyarakat awam.
Umno tidak pun memulakan atau terlibat dalam semua itu.
Tetapi, memandangkan Umno juga berada dalam kerajaan PN di bawah Muhyiddin, Umno turut menerima tempiasnya.
Maka, jalan paling bertanggungjawab untuk Umno adalah memberikan teguran, desakan serta pandangan yang selari dengan sentimen serta kekecewaan masyarakat.
Umno harus bertindak sebagai instrumen semak dan imbang yang mampu membawa suara masyarakat sekali pun yang demikian itu bermakna Umno terpaksa untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Ini adalah tindakan berprinsip, bukan pengkhianatan.
Ketiga, penarikan sokongan Umno terhadap Muhyiddin tidak dilakukan secara mengejut, rahsia atau tidak berasas. Ia sesuatu yang dinyatakan secara terbuka, sejak awal. Malah berulang-ulang kali.
Lihat kembali resolusi semasa Perhimpunan Agung Umno sebelumnya dan kenyataan-kenyataan ramai pemimpin utama Umno.
Parti ini akan menarik sokongan dan tidak akan terus bersama perdana menteri sekiranya segala usul, desakan dan tuntutan yang mahukan kerajaan menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan lebih baik tidak diberikan perhatian.
Malah, Umno kerap mengingatkan jika Muhyiddin tidak melakukan sesuatu untuk memastikan keadaan pulih, Umno akan berundur.
Bukan perancangan sulit
Yang jelas, Umno tidak melakukan semua ini sebagai satu perancangan jahat dan sulit di hotel ibu kota.
Ia juga bukan satu tindakan yang dibuat untuk merebut kuasa. Malah, Umno sehingga menegaskan bahawa yang ditegur dan ditolak, adalah perdana menteri. Bukannya keseluruhan kerajaan.
Keempat, Umno adalah parti yang jelas bersungguh-sungguh memerangi pengkhianatan, terutamanya lompat parti.
Wakil Umno yang kini mengusul dan mendesak agar undang-undang anti lompat parti serta pilihan raya pecat diperkenalkan.
Jadi, kalau pun ada mangsa pengkhianatan dalam politik tanah air kita, mangsanya adalah Umno.
Sebagai tokoh yang paling banyak menerima dan meraikan pengkhianatan dan pelompat parti, Muhyiddin adalah pemangsa, bukan mangsa.
Parti Muhyiddin yang banyak menerima mereka yang mengkhianati PKR.
Parti Muhyiddin jugalah yang mengalu-alukan mereka yang mengkhianati Umno. Sehingga kesemuanya dikumpulkan untuk mengkhianati menumbangkan PH.
Jadi, adalah sangat canggung malah kelakar untuk Muhyiddin kini tampil melaungkan, terutamanya di seluruh pelosok Melaka, bahawa dirinya mangsa pengkhianatan politik.
Umno tidak mengkhianati sesiapa. Umno hanya melakukan perkara yang perlu untuk memastikan kerajaan tidak dikepalai oleh mereka dengan perwatakan seorang “Abah”.
Tetapi pada dasarnya gagal meyakinkan anak-anaknya bahawa mereka akan selamat, terlindung dan tidak dikecewakan.
Umno bukan pengkhianat. Umno hanya mahukan yang terbaik demi bangsa dan negara. Umno tidak akan sesekali mengkhianati amanah ini. Itu, saya pasti. – 15 November, 2021.
* Mohamed Khaled Nordin, naib presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen