Khalid Samad cabar BN, Perikatan sahut cabaran debat calon KM Melaka


Khamis lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, PN dan BN disiarkan melalui media saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisna Nasional (BN) mesti berani menyahut cadangan Pakatan Harapan (PH) supaya satu debat antara calon ketua menteri Melaka diadakan menjelang pilihan raya negeri, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

“Kita harap Umno, PN beranikan diri. Kita nak tengok kamu berhadapan dengan rakyat dalam satu platform debat supaya kita dapat bahas dan dapat kita selesaikan segala isu, dan rakyat akan buat pilihan.

“Itu yang terbaik,” kata pengarah komunikasi Amanah itu dalam satu rakaman video.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, PN dan BN disiarkan melalui media saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Cadangan itu susulan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dilaporkan berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada semua calon parti politik yang bertanding pada PRN Melaka berkempen.

Ini berikutan prosedur operasi standard Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan calon dan parti dalam PRN Melaka mengadakan perhimpunan atau ceramah. 

“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” kata Anwar dalam kenyataan Facebook pada Khamis.

Sulaiman Md Ali yang dicalonkan Umno sebagai ketua menteri Melaka bagaimanapun menolak cadangan tersebut, sebaliknya lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN.

“Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah. Kita tumpukan dulu kerja yang ada ni,” katanya dipetik Malaysiakini, sehari selepas Anwar kemukakan cadangan.

Mengulas perkara itu, Khalid berkata Sulaiman sebenarnya berkata demikian kerana tidak berani menyahut cabaran.

“Calon ketua menteri (Umno) adalah Sulaiman tetapi orang yang menentukan adalah Rauf. Lalu kalau Sulaiman yang datang berdebat dia nak cakap apa, dia tak tahu apa-apa kerana semua perancangan dilakukan Rauf.

“Apa-apa yang dilakukan semua Rauf yang tentukan. Sulaiman dia tak beranilah nak turun sedangkan bagi PH, Adly (Zahari) dah bersedia bila-bila masa untuk berdebat,” katanya.

Khalid berkata merujuk kepada Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, yang didakwa lebih berkuasa daripada Sulaiman, ketua menteri Melaka sebelum kerajaan negeri tumbang.

Bekas speaker DUN Melaka itu dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama TV pada Jumaat lalu menadikan dakwaan tersebut.

Rauf adalah calon BN bagi DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November manakala pengundian awal pada 16 November, susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas, selepas empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman. – 15 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen