Muhyiddin harap PRN Melaka tak jejas hubungan dengan BN di Persekutuan


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata beliau berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat bekerjasama baik dengan menteri daripada BN dan PN tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) berharap hubungannya dengan Barisan Nasional tidak terjejas di peringkat kerajaan Persekutuan berikutan serangan ke atas Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata beliau berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat bekerjasama baik dengan menteri daripada BN dan PN tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri.

“Adalah agak luar biasa bagi gabungan dalam kerajaan Persekutuan untuk bertembung sesama sendiri tetapi ini adalah demi negara dan sedang dilakukan untuk memastikan sedikit kestabilan.

“Saya rasa ini tidak mengapa setakat kerajaan persekutuan mengambil berat. Semoga ia tidak menimbulkan sebarang isu dan perdana menteri boleh bekerjasama dengan seluruh anggota kabinet daripada BN atau PN,” katanya kepada media selepas pelancaran manifesto pilihan raya PN hari ini di Subang.

Muhyddin berkata keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya secara berasingan telah dibuat BN dan PN.

“Kita harus menghormatinya,” katanya.

Khamis lalu, Muhyiddin dalam serangan pedasnya menyalahkan Umno atas kejatuhan kerajaan negeri dan berkata beliau boleh menarik balik sokongan terhadap Umno yang menerajui Johor selepas penyokong kuat BN menarik balik sokongan terhadapnya dalam kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, beliau bukan seorang yang berdendam kerana beliau sendiri mencadangkan pemimpin Umno menggantikannya untuk jawatan tertinggi selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Katanya, walaupun mempunyai pilihan untuk membubarkan Parlimen dan memberi laluan kepada pilihan raya umum, namun beliau menentang pilihan itu sebaliknya mencalonkan Ismail Sabri Yaakob dari Umno sebagai perdana menteri.

“Jika saya berniat jahat dan hanya mencari kepentingan politik kita, saya boleh melakukan perkara yang sama untuk negeri Johor hanya dengan mengeluarkan dua Adun dan membuat kerajaan Johor sekarang tumbang.

“Tetapi saya tidak mahu berlagak bodoh dan berniat buruk untuk menimbulkan masalah sama di Johor. Bukan kerana ia negeri saya tetapi untuk memelihara kebajikan dan kepentingan rakyat,” tambah Muhyiddin.

Dalam manifestonya, PN berjanji untuk mengangkat ekonomi negeri serta kerajaan negeri yang telus dan membantu mengekalkan sekolah tahfiz.

“Sebagai bandar bersejarah, Melaka adalah negeri yang terkenal dengan pelancongan dan kerana ia sangat popular, jalan rayanya sentiasa sesak.

“PN akan membina lebih banyak tempat letak kereta bertingkat untuk mengurangkan lalu lintas. Kami akan meningkatkan kualiti dan kapasiti perhentian transit, hari bebas kenderaan di negeri ini serta mempromosikan Melaka sebagai destinasi rekreasi, seperti untuk sukan lasak dan sukan air.”

“PN akan memberi perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz dan bagi memastikan persekitaran yang kondusif, penyelenggaraan akan disediakan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Pemberian tunai RM200 secara one-off juga akan diberikan kepada guru tahfiz, guru kafa dan guru tadika yang berdaftar di bawah badan agama negeri itu,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, PN akan mengumumkan calon ketua menterinya sehari sebelum hari pengundian.

PN terlibat dalam pertembungan dengan sekutunya di peringkat persekutuan, Barisan Nasional, serta pakatan pembangkang Pakatan Harapan di semua 28 kerusi.

Daripada 28 kerusi yang ditandingi PN, Bersatu bertanding di 15, PAS mengambil lapan dan Gerakan, lima.

Parti Perikatan India Muslim Nasional akan bertanding di satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), diketuai Ibrahim Ali, bertanding lima kerusi.

Dua puluh dua calon Bebas akan menyertai pilihan raya negeri pada 20 November ini. – 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen