Manifesto PN janji tolong sekolah tahfiz, tingkat pelancongan Melaka


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (tengah) ketika melancarkan manifesto Melaka Bangkit Gemilang berkata akan memperkukuh sektor pelancongan perubatan, selain melancarkan lalu lintas pada musim cuti selain memulihara tapak bersejarah di Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini berjanji untuk membantu mengekalkan sekolah tahfiz berdaftar di Melaka jika gabungan itu menang pilihan raya negeri nanti.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin petang ini berkata semua guru sekolah tahfiz juga akan menerima bayaran tunai RM200 secara sekali beri.

“Kerajaan PN juga akan memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada guru tahfiz, guru Kafa dan juga guru tadika di bawah seliaan JAIM,” kata Muhyiddin di Hotel Glenmarie and Golf Resort.

Muhyiddin berkata demikian ketika melancarkan manifesto PN di Shah Alam yang bertemakan Melaka Bangkit Gemilang.

Manifesto Perikatan Nasional untuk pilihan raya Melaka bertemakan Melaka Kembali Bangkit Gemilang dilancarkan di Shah Alam, Selangor hari ini oleh pengerusinya Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2021.

Bekas perdana menteri itu turut mengumumkan PN akan membentuk Dewan Undangan Negeri Belia Melaka dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin negeri masa depan.

“Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka,” katanya.

Selain itu, PN juga akan memberikan RM200 kepada semua bayi baru lahir di Melaka pada 2021.

Dalam usaha meningkatkan ekonomi pelancongan berikutan pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata PN akan memulihkan serta memulihara tapak bersejarah dan memperkukuh sektor pelancongan perubatan negeri.

“Bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian, kerajaan PN Melaka yang akan dibentuk nanti akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem ‘park and ride’.

“Melaka juga akan dipromosikan sebagai destinasi aktiviti rekreasi, termasuk sukan air dan sukan lasak, yang menjadi tarikan masa kini. 

“Bagi menyokong inisiatif ini, program Bandaraya Melaka Bebas Kenderaan akan diperkenalkan di lokasi dan waktu tertentu di hujung minggu bagi pelancong dalam dan luar negara,” tambahnya.

Muhyiddin juga mengumumkan pemberian RM200 kepada semua bayi baharu lahir di Melaka pada 2021, penubuhan DUN Belia, selain akan memperkukuh sektor pelancongan perubatan negeri tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2021.

Rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 20 November dan kempen pilihan raya sedang giat dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.

PN yang diketuai Bersatu, Barisan Nasional diterajui Umno dan PKR yang mengepalai Pakatan Harapan akanm bertembung di semua 28 kerusi DUN.

Pilihan raya di Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu berikutan penarikan sokongan empat Adun terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. – 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen