DR Mahathir Mohamad hari ini menandatangani petisyen bebaskan Anwar Ibrahim, meskipun pernah dikaitkan dengan pemenjaraan bekas ketua pembangkang itu kali pertama pada 1998.
Bekas perdana menteri yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menandatangani petisyen tersebut selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan PKR di Shah Alam, hari ini.
Dr Mahathir bagaimanapun menafikan beliau individu yang menyebabkan Anwar kini berada di penjara.
“Ini kongres PKR. Bukan saya yang menyebabkan dia (Anwar) dipenjarakan. Itu cerita lama. Najib yang memenjarakannya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dr Mahathir menghadiri kongres tersebut sebagai pengerusi Bersatu, parti Melayu yang kini menjadi parti pakatan PKR dalam Pakatan Harapan.
Anwar pertama kali dipenjarakan atas dua dakwaan berasingan kerana salah guna kuasa dan liwat sewaktu pemerintahan Dr Mahathir pada tahun 1999.
Dia dibebaskan pada 2004, selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun atas dakwaan salah guna kuasa, bagaimanapun dakwaan dan hukuman liwat dibatalkan mahkamah. Pembebasan itu membolehkannya terlibat aktif dalam politik.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat kali kedua sejak 2015 di penjara Sungai Buloh. – 21 Mei, 2017.
Komen