BEKAS ketua menteri Melaka Idris Haron mendapat reaksi pelbagai daripada pengundi di kerusi DUN Asahan tempat beliau bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Idris salah seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Umno.
Selepas dipecat daripada Umno kerana peranannya dalam kejatuhan kerajaan negeri, Idris menyertai PKR.
Beberapa pengundi mengalu-alukan penyertaannya sebagai calon PRN, manakala yang lain tidak terlalu gembira dengan tindakannya menggulingkan kerajaan negeri.
Pemandu bas sekolah, Muthu Raman, 55, berkata beliau tidak akan mengundi Idris atas tindakannya mengakibatkan kerajaan negeri tumbang dan kemudian berpaling tadah kepada PKR.
“Saya tidak suka seseorang yang suka melompat parti kerana ia menyebabkan kekacauan kepada semua orang,” katanya.
Muthu berkata, beliau tidak pasti sama ada Idris akan berpaling tadah ke parti lain lagi selepas pilihan raya.
“Beliau tidak mempunyai kesetiaan, jadi saya katakan tidak kepada Idris.”
Muthu juga berkata, apabila Adun baharu dipilih nanti, beliau berharap untuk mempunyai mesin pengeluaran wang automatik di Kampung Asahan.
“Kami juga berharap untuk mempunyai stesen minyak berhampiran kerana stesen minyak sekarang kira-kira 20km jauhnya.”
Idris akan bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka.
Bekas orang kuat Umno itu diberikan kerusi DUN Asahan di bawah Parlimen Alor Gajah.
Pada 6 November lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, Idris diterima sebagai ahli gabungan itu.
Seorang bekas penyokong Umno yang mahu dikenali sebagai Amir berkata, beliau tidak akan menyokong Idris kerana sudah lama memerintah dan tidak pernah pulang ke kampung untuk melawat rakyat.
Beliau berkata, penduduk di kampung itu amat berbangga apabila Idris menjadi ketua menteri tetapi kecewa kerana tidak pernah menziarahi orang di kampung halamannya.
“Semasa beliau menjadi ketua menteri, beliau hanya melawat tempat ini beberapa kali.
“Beliau sepatutnya turun dan bercakap dengan penduduk di sini dan bertanya mengenai kesejahteraan mereka.
“Malah semasa perintah kawalan pergerakan, beliau tidak pernah muncul.”
Beliau berkata Idris tidak sepatutnya menyertai PKR.
“Jika beliau bertanding sebagai calon bebas, beliau mungkin mempunyai peluang lebih baik untuk menang,” katanya.
“Sekarang beliau melompat ke parti lain, kira-kira 70% orang tidak berpuas hati dengannya.”

Undi PH, bukan calon
Mathivanan Krishnan, 47, berkata beliau akan mengundi Idris bukan kerana sukakannya tetapi kerana parti yang diwakilinya.
“Saya ingin memberi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun kepada parti untuk melihat apa yang boleh dilakukannya,” kata Mathivanan.
“Sepanjang tahun ini, BN hampir tidak membantu kaum India di sini walaupun terdapat lebih 500 pengundi India di kawasan kecil ini.”
Pemandu lori Rajan Muthusamy, 46, yang merupakan penyokong Idris berkata semasa BN menjadi kerajaan negeri, ia tidak pernah sampai kepada rakyat.
“Kami mahu seseorang yang boleh berkomunikasi dengan kami dengan mudah,” katanya.
“Semasa pilihan raya, mereka ini datang ke sini dan meminta undi, tetapi apabila selesai, mereka tidak pernah muncul.”
Peniaga Moh Er Ler, 50, berkata beliau tidak akan sekali-kali mengundi mana-mana parti lain kecuali PH.
“Apabila saya melihat logo PH, itulah yang saya akan undi,” katanya.
“Saya tidak berminat dengan siapa yang bertanding di kerusi Asahan. Saya hanya tidak mahu dacing (logo BN).”
Katanya selagi ada lambang PH, beliau akan keluar mengundi.
“Sama ada mereka (calon) tidak bermoral atau tidak, saya tidak kisah,” katanya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa. Sampai mati saya akan sokong PH.
“Saya pasti akan keluar dan mengundi.”
Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Leo, 67, berkata, beliau tidak pasti siapa yang akan disokong kerana tidak tahu banyak tentang calon berkenaan.
“Saya akan memilih calon paling banyak berjasa kepada masyarakat,” katanya.
“Jadi, saya perlu bercakap dengan rakan-rakan saya dan mengetahui lebih lanjut mengenai calon yang bertanding.”
Wan Abdul Samsuri, 50, berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan diundi.
“Adun sebelum ini tidak banyak jasa kepada kami, sebab itu saya perlu membuat keputusan dengan teliti sebelum membuang undi.
“Saya sudah hampir 10 tahun meminta van jenazah tetapi masih belum dapat.
“Ayah saya meninggal dunia awal tahun ini dan kami terpaksa membawa jenazah dengan lori tiga tan ke tanah perkuburan,” kata Wan yang merupakan pemandu lori.
Pada 5 Oktober, empat Adun menarik balik sokongan daripada Sulaiman, yang membawa kepada pembubaran DUN.
Mereka ialah Idris (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Pengundian bagi pilihan raya negeri adalah pada 20 November manakala pengundian awal pada 16 November. – 14 November, 2021.
Komen