JONKER Walk di Melaka mula dipenuhi pengunjung selepas kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, kata jawatankuasa pengurusan kawasan warisan itu.
Lebih 30,000 pengunjung membanjiri kawasan berkenaan pada hujung minggu untuk membeli-belah, bersiar-siar dan menjamu selera, kata wakil jawatankuasa Roger Tan.
“Kami lihat ramai penduduk tempatan dan pelawat dari negeri lain membanjiri kawasan itu.
“Kami menerima bilangan pelawat yang tinggi, terutamanya pada hujung minggu, berbanding semasa sekatan pergerakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengunjung membanjiri kawasan tumpulan pelancong itu daripada Jumaat hingga Ahad, kata Tan.
“Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung menjelang akhir tahun apabila lebih ramai keluarga dan orang ramai cenderung untuk melancong.
“Kami menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat untuk bulan ini dan Disember, dan berharap untuk menyasarkan sehingga 50,000 pengunjung pada hujung minggu,” katanya.
Bulan lalu, The Malaysian Insight telah melaporkan bahawa peniaga terpaksa menangguhkan perniagaan mereka kerana pelbagai sekatan.
Jonker Walk, yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka, terkenal dengan tapak dan bangunan warisan serta untuk membeli-belah dan hiburan.
Terdapat kira-kira 200 peniaga di Jonker Walk dan kawasan sekitarnya, dan hampir 60% kedai di sini ditutup semasa sekatan pergerakan Covid-19 yang berpanjangan.

Kerajaan Melaka membenarkan peniagaan di Jonker Walk dibuka awal bulan lepas, dengan syarat mereka divaksin sepenuhnya.
Perjalanan rentas negeri pula dibenarkan pada 11 Oktober.
Tan berkata lebih banyak kedai turut dibuka semula untuk perniagaan dua minggu lalu apabila pasar malam Jonker Walk dibenarkan beroperasi semula.
“Sekarang kita dapat lihat 60% hingga 70% kedai telah dibuka untuk perniagaan. Tetapi, selebihnya menghadapi beberapa masalah kecil, seperti kekurangan tenaga kerja dan isu lain.
“Jadi, saya fikir tidak lama lagi kita akan mencapai kapasiti penuh seperti sebelum wabak. Mudah-mudahan, kita jangkakan tahun depan.”
Sebelum ini pasar malam itu mempunyai sekitar 500 gerai yang menjual pelbagai barangan dan makanan.
Setakat ini, lebih 400 telah dibuka semula dan beroperasi dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad.
Tan berkata peniaga masih tidak pasti mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk pembukaan semula. Ramai juga yang kekurangan kewangan untuk menampung kos tambahan yang diperlukan untuk mematuhi SOP.
“Selepas meneliti SOP dan dengan nasihat pihak berkuasa, kami membuka semula pasar malam dua minggu lalu.”
Beliau berkata sebelum penularan wabak, 17 juta orang telah melawat tapak warisan Unesco.
Tan juga berkata bahawa mereka menantikan pelancong asing sebaik sahaja sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa, yang kini disasarkan pada 1 Januari, menurut majlis pemulihan negara. – 14 November, 2021.
Komen