Gerakan boleh menang undi Cina kerana komunitinya pragmatik, kata Muhyiddin


Gerakan bertanding di lima kerusi iaitu Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

GERAKAN boleh memenangi pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang menyifatkan komuniti itu sebagai “sangat pragmatik”.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika ditanya sama ada Gerakan boleh meraih undi sokongan masyarakat Cina pada PRN Melaka akan datang.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, terdapat angin perubahan yang kuat dan ia tidak boleh diabaikan.

“Memandangkan sesetengah pihak menyatakan peratusan keluar mengundi Cina mungkin rendah dan mereka adalah penyokong kuat DAP, saya fikir mereka orang yang sangat pragmatik.

“Kami harap mereka akan mempertimbangkan calon yang kami letak daripada Gerakan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat Cina pada satu majlis hari ini.

Gerakan adalah sebahagian daripada Barisan Nasional tetapi meninggalkan gabungan itu sejurus selepas PH mengambil alih Putrajaya sebelum menyertai PN pada 2020.

Gerakan akan bertanding di lima kerusi dalam PRN Melaka iaitu Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Penyandang di empat kerusi itu adalah daripada DAP.

Muhyiddin juga memberitahu pemberita pemimpin DAP Lim Kit Siang tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman Bersatu selepas ahli parlimen veteran itu mencadangkan terdapat “bantahan keras” dalam Bersatu menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN untuk menjadi ketua menteri.

“Beliau tidak sepatutnya bimbang mengenai apa yang berlaku dalam Bersatu. Saya akan uruskannya. Saya tidak campur tangan dalam DAP. Saya tidak bertanya apa-apa mengenai parti itu,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menyatakan kegagalan Muhyiddin untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai bakal ketua menteri PN sebagai bom jangka kerana dakwaan tentangan dalam Bersatu.

Mas Ermieyati bertanding di Tanjung Bidara menentang Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, mencetus satu pertembungan sengit.

Calon Pakatan Harapan Zainal Hassan dijangka tidak akan mampu memberikan saingan kepada dua calon itu.

“Muhyiddin mempunyai bom jangka di Melaka - kegagalannya untuk mengumumkan Mas Ermieyati Samsuddin sebagai calon Bersatu untuk jawatan ketua menteri Melaka kerana bantahan keras dalam parti.

“Bolehkah (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin meneutralkan bom jangka ini di Melaka?” Lim berkata dalam satu kenyataan sambil merujuk kepada timbalan menteri undang-undang yang memenangi kerusi parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional pada 2018.

Semalam, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendedahkan PN hanya akan mengumumkan calon ketua menteri menjelang malam pengundian iaitu pada 20 November. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen