Kita jangan lalai, Covid-19 masih menular, kata persatuan perubatan


Rawatan sedia ada sangat membantu tetapi vaksinasi, pelitup muka dan penjarakan sosial adalah pencegahan terbaik kerana Covid-19 masih menular dalam komuniti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak terlalu selesa dan jangan lalai kerana kadar kebolehjangkitan Covid-19 meningkat ke tahap “membimbangkan” 1.04.

“Jangan hanyut dengan berita yang kata Malaysia sedang memasuki fasa endemik menyebabkan kita lalai. Keadaan sudah cukup buruk kerana kes harian positif Covid-19 terus meningkat tetapi untuk tahu yang kadar kebolehjangkitan Covid-19 juga meningkat kepada 1.04 adalah membimbangkan,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan.

Nilai Rt melebihi 1.0 bermaksud kadar penularan virus yang pantas.

Dr Koh berkata mengingatkan yang kes baharu harian telah melebihi kes pulih harian dan kadar penggunaan katil hospital di Terengganu sudah mencapai 84%.  

“Kita lihat ramai meneruskan kerja harian mereka terlupa untuk memakai pelitup muka dengan betul dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

 “Kematian masih berlaku dan mereka yang bernasib baik untuk pulih pula, ada antara mereka memerlukan rawatan perubatan dan pemulihan jangka panjang selepas (kesihatan) terjejas disebabkan virus itu,” tambahnya.

Menurutnya, bekas pesakit juga bergelut dengan kesan jangka panjang Covid-19 dan mengalami tekanan perasaan.

“Penderitaan mereka yang pulih tetapi mengalami kerosakan pelbagai organ badan sangat menyedihkan dan perlu dilihat oleh mereka yang masih percaya bahawa Covid-19 hanya rekaan semata,” tambahnya.

Dr Koh juga kembali mengingatkan orang awam yang vaksinasi, pelitup muka dan penjarakan sosial adalah tiga senjata utama memerangi Covid-19.

“Rawatan perubatan sedia ada sangat membantu tetapi pencegahan sentiasa lebih baik berbanding dijangkiti Covid-19 kerana percaya sudah wujud rawatan perubatan. Masih ada orang yang tidak dapat ke peringkat pemulihan walaupun sudah menerima rawatan terbaik,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitternya berkata nilai Rt untuk 12 November adalah 1.04.  

Seramai 1,248 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dan kes aktif berjumlah 64,277.

Setakat semalam, 50,063 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 7,966 berada di pusat kuarantin risiko rendah dan 5,705 lagi sedang menjalani rawatan di hospital.

Daripada jumlah pesakit di hospital, 543 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, dan 268 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut mengingatkan rakyat supaya tidak lalai dan mengambil semua langkah pencegahan. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen