MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan terhadap Covid-19, berikutan indikator kadar kebolehjangkitan (Rt) negara meningkat kepada angka 1.04.
“Kadar Rt negara kini 1.04. Pakai pelitup muka. Elak tempat sesak. Amalkan #TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera). Warga emas terutamanya dapatkan dos penggalak,” katanya di Twitter hari ini.
Nilai Rt lebih 1.0 bermakna semakin ramai orang dijangkiti berbanding yang berisiko.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata Rt untuk semalam ialah 1.04.
Malaysia melaporkan 1,248 kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam, dengan 64,277 kes aktif.
Pada masa ini, 50,063 pesakit menjalani kuarantin kendiri, 7,966 di pusat kuarantin risiko rendah dan 5,705 dirawat di hospital.
Seramai 543 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 268 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 13 November, 2021.
Komen