KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 41 kematian berkaitan Covid-19 semalam, berkurangan buat tiga hari berturut-turut walaupun berlaku peningkatan kes baharu.
Menurut pangkalan data mentah KKM, GitHub, kesemua kematian dilaporkan semalam adalah kes tertunda. Data terbaru ini menjadikan jumlah korban wabak negara kini mencecah 29,576 orang.
Daripada 41 kematian semalam, lapan adalah kes kematian dibawa ke hospital (BID), menjadikan jumlah keseluruhan kes BID adalah 5,983 orang.
Jumlah kematian harian adalah gabungan jumlah kematian sebenar pada hari tersebut dan jumlah kematian yang baharu disahkan pihak berkuasa disebabkan Covid-19 selepas siasatan klinikal dijalankan.
Buat dua hari berturut-turut, Sabah terus merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 10 kes, pada hari sebelumnya, negeri itu merekodkan 12 kematian.
Menuruti Sabah adalah Selangor dengan sembilan kematian dan Sarawak dengan enam kematian.
Negeri lain yang melaporkan kematian disebabkan Covid-19 semalam adalah Pulau Pinang (5), Perak dan Kelantan masing-masing dengan tiga kes, Negeri Sembilan (2), Johor, Perlis dan Kuala Lumpur pula masing-masing melaporkan satu kematian.
Tiada kematian disebabkan wabak dilaporkan di Kedah, Melaka, Pahang, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Sementara itu, daripada 8 kes BID semalam, Sabah merekodkan lima kes dan satu kes masing-masing dilaporkan di Perak, Sarawak dan Selangor.
Dalam tempoh dua minggu, Selangor melaporkan 66 kematian meningkat sebanyak 47%.
Walaupun jumlah kematian berkurangan tiga hari berturut-turut, kadar kematian disebabkan Covid-19 di Malaysia naik 1.0% semalam, dengan purata kematian kerana wabak kekal 16 orang per satu juta penduduk di negara ini. – 13 November, 2021.
Komen