MALAYSIA merekodkan 1,248 kes kemasukan ke hospital disebabkan Covid-19 semalam, kurang lebih 100 kes berbanding hari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan.
Pada Khamis, sejumlah 1,352 pesakit dimasukkan ke hospital kerana Covid-19.
Menurut laman web KKM, CovidNow, jumlah keseluruhan penggunaan katil terus berkurangan, jatuh kepada 68.2% semalam berbanding 68.4% pada hari sebelumnya. Jumlah ini juga melibatkan kes kesihatan bukan Covid-19.
Walaupun wujud penurunan dalam jumlah penggunaan katil, mereka yang dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 meningkat daripada 38.4% kepada 39.2%. Peningkatan ini berlaku walaupun wujud penurunan kemasukan berkaitan Covid-19.
Data di CovidNow menunjukkan hampir setiap negeri menyaksikan peningkatan sedikit dalam kadar kemasukan ke hospital, salah satu petunjuk utama bagi menggambarkan keseriusan wabak Covid-19.
Daripada jumlah kemasukan baharu itu, Lembah Klang merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 365 kes.
Kawasan paling padat penduduk di Malaysia itu menyaksikan peningkatan kemasukan ke hospital sebanyak 8% dalam purata tujuh hari, dan kadar penggunaan katil semasa berada pada kadar 60%.
Daripada 365 kemasukan di Lembah Klang, 295 kemasukan hospital berlaku di Selangor, Kuala Lumpur (46) dan Putrajaya (24).
Negeri lain yang merekodkan kemasukan baharu ke hospital adalah Johor dengan 193, Sarawak (131), Sabah (112), Kelantan (89), Negeri Sembilan (73), Perak (61), Terengganu (58), Kedah (48), Pahang (45), Melaka (31), Pulau Pinang (31), Perlis (10) dan Labuan (1).
Sementara itu, sebanyak 6,517 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam, tertinggi sejak tiga minggu lepas.
Lembah Klang sahaja menyumbang 2,267 kes atau 35% daripada jumlah itu.
Selangor melaporkan kes tertinggi sebanyak 1,752 diikuti Sabah (611) dan Kelantan (521).
Negeri lain yang melaporkan kes baharu termasuklah Johor (517), Kuala Lumpur (441), Pahang (431), Sarawak (418), Kedah (352), Negeri Sembilan (299), Pulau Pinang (254), Perak (243), Terengganu (243), Putrajaya (74), Perlis (54) dan Labuan (8).
Melaka yang akan mengadakan pilihan raya negeri pada 20 November ini menyaksikan peningkatan kes baharu sebanyak 299 kes semalam berbanding 158 pada hari sebelumnya.
Jumlah kes aktif juga meningkat kepada 64,277 selepas kes baharu melebihi kes pulih empat hari berturut-turut.
Daripada jumlah kes aktif, 50,063 sedang menjalani kuarantin di rumah, 7,966 dimasukkan ke pusat kuarantin risiko rendah dan 5,705 sedang menjalani rawatan di hospital.
Terdapat 543 pesakit sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 268 orang memerlukan bantuan alat pernafasan. – 13 November, 2021.
Komen