SOP Covid-19 di Melaka sukarkan calon berkempen, kata Muhyiddin 


Elill Easwaran

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Bemban, Melaka hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 November, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan perlu mempertimbangkan semula prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya negeri Melaka kerana sukar untuk parti dan calon berkempen, kata Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

“Saya pun mengeluh juga. Bagaimana kita nak perkenalkan calon kalau jumpa pengundi, bercakap pun tak boleh,” katanya pada  

KKM perlu sekurang-kurangnya membenarkan calon pilihan raya melawat pengundi di kawasan yang mereka tandingi dengan penjarakan sosial yang betul, tambahnya.

“Saya faham apa KKM (Kementerian Kesihatan) buat untuk kebaikan, tetapi kita minta pertimbangan jika dapat dilonggarkan SOP beberapa hari, maka boleh berikan sedikit ruang untuk kita berkempen,” katanya yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Terdahulu hari ini, bilik gerakan PN Telok Mas ditutup selama 14 hari selepas kes Covid-19 dikesan, menurut laporan Sinar Harian.

PN turut disaman RM10,000 kerana gagal menyediakan pengimbas suhu di premis bilik gerakan berkenaan, yang mana calonnya Rafiq Naizamohideen berkempen.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata KKM berpuas hati dengan pematuhan SOP bagi pilihan raya Melaka.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya memberi contoh yang baik agar orang ramai turut mematuhi SOP.

“KKM mendapati secara keseluruhannya terdapat pematuhan SOP yang baik, tetapi terdapat beberapa kes ketidakpatuhan oleh beberapa pemimpin dan ahli politik. Mereka ini sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

“Ahli politik ini sepatutnya lebih faham, dan mungkin apabila mereka turun padang, mereka sepatutnya mempunyai lebih sedikit pegawai yang mengiringi mereka. Apabila terlalu ramai dalam rombongan mereka, sukar untuk mematuhi penjarakan fizikal,” kata Khairy kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di RTM1 semalam.– 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen