Jangan cabar saya tarik semula sokongan di Johor, kata Muhyiddin


Elill Easwaran

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyelar tindakan pemimpin veteran Umno Johor Shahrir Samad yang mencabarnya menarik semula sokongan daripada kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 November, 2021.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada pemimpin veteran Umno Johor Shahrir Samad supaya tidak mencabarnya untuk menarik semula sokongan daripada kerajaan negeri.

“Saya boleh tarik diri daripada kerajaan negeri esok tetapi saya tidak akan melakukannya kerana ia akan menjejaskan rakyat Johor,” katanya pada sidang media di Villa Mak Ngah, Bemban di Melaka hari ini.

Beliau turut menyelar bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu kerana mencabarnya berbuat demikian.

“Shahrir tidak mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat, dia hanya mengambil berat tentang Umno,” kata bekas perdana menteri itu.

Shahrir dilaporkan mencabar Bersatu untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Umno di Johor berikutan pertembungan dua parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau juga berkata tidak ada wakil Bersatu negeri yang layak di Johor untuk menjadi menteri besar.

Umno dan Bersatu berkongsi hubungan yang tidak selesa di peringkat persekutuan dan bertembung antara satu sama lain dalam PRN Melaka.

Muhyiddin juga berkata beliau mengenali Shahrir dengan baik dan pasti beliau mahukan pilihan raya di Johor sama seperti di Melaka.

“Ini adalah niat jahat. Saya kenal dia dengan baik. Dia mahu apa yang berlaku di Melaka, berlaku di Johor,” katanya merujuk kepada penarikan semula sokongan terhadap menteri besar Melaka yang mengakibatkan PRN.

“Beginilah cara pemimpin Umno berfungsi…jangan cabar saya. Saya presiden Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau juga berkata cabaran Shahrir adalah satu cabaran yang bodoh.

“Ini bodoh. Meminta kami menarik semula sokongan terhadap menteri besar Umno,” katanya. – 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen