PEMBERIAN suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 akan diperluas kepada kumpulan lain selain penerima yang layak kerana ia didapati meningkatkan imuniti terhadap koronavirus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kementerian akan memperluaskan pemberian suntikan penggalak kepada lebih banyak kumpulan selain penerima semasa iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas, dan petugas barisan hadapan yang lengkap dua dos enam bulan lalu.
“Panel pakar perubatan kementerian meneliti keberkesanan dan keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber dan mendapati satu suntikan boleh meningkatkan tahap imuniti.
“Strategi kementerian seterusnya adalah memperluaskan dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi, individu berumur 40 tahun ke atas, ibu mengandung dan petugas barisan hadapan lain (selain kakitangan kesihatan),” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun pemilihan vaksin untuk suntikan penggalak bergantung pada kelulusan kawal selia serta kelulusan doktor yang merawat.
“Setakat ini hanya vaksin Comirnaty (Pfizer) telah diluluskan sebagai dos penggalak homolog selepas tempoh 6 bulan menerima dos utama, manakala vaksin lain sedang dalam proses semakan oleh panel pakar dan kawal selia,” katanya.
Sebanyak 825,497 dos penggalak telah diberikan di Malaysia, tambahnya.
Dua hari lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mula memberi suntikan dos penggalak kepada mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
Setakat semalam, 75.7% daripada jumlah populasi telah divaksin sepenuhnya, bermakna mereka telah melengkapkan dos penuh yang perlu untuk suntikan dan melengkapkan tempoh menunggu yang diperlukan untuk pembentukan antibodi.
Kepada mereka yang masih belum diberi vaksin, Dr Noor Hisham menggesa mereka berbuat demikian kerana mereka lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti.
“Bagi mereka yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
“Kementerian menasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin supaya anda dan keluarga terhindar daripada virus berbahaya ini.” – 12 November, 2021.
Komen