R-naught naik semula ke angka 1


Ravin Palanisamy

Malaysia kini melaporkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding kes pulih dalam tempoh empat hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2021.

JUMLAH kes aktif Covid-19 di negara ini meningkat apabila Malaysia melaporkan 6,517 kes baharu berbanding 6,026 kes pulih dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Malaysia kini melaporkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding kes pulih dalam tempoh empat hari lalu.

Data kes aktif akan dikemas kini di laman web CovidNow kementerian selepas tengah malam. Angka semasa ialah 63,827.

Kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi dalam tempoh tiga minggu lalu. Kes di negara ini berada dalam aliran meningkat sejak Ahad lepas apabila 4,343 jangkitan dicatatkan.

Kadar jangkitan keseluruhan atau R-naught di negara ini kini meningkat dari 0.99 semalam kepada 1.00 hari ini. 

Peningkatan kadar jangkitan sebahagian besarnya disumbangkan oleh lonjakan kes di negara ini sejak beberapa hari lalu terutama di Lembah Klang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

R-naught di ketiga-tiga tempat kini berada di atas 1 di mana Putrajaya mendahului carta apabila nilai meningkat dari 1.06 semalam kepada 1.16 hari ini.

Kadar jangkitan di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 0.01 kepada 1.04 manakala R-naught di Selangor kekal 1.03.

Negeri lain yang mempunyai nilai R-naught melebihi 1 ialah Kelantan (1.02), Negeri Sembilan (1.01) dan Pahang adalah negeri terbaru yang menyertai senarai dengan nilai 1.01.

Sementara itu Noor Hisham berkata daripada kes baharu yang direkodkan hari ini, 6,392 atau 98.1% adalah dalam kategori asimtomatik dan kategori sederhana iaitu 1 dan 2.

Baki 125 atau 1.9% kes adalah dalam kategori lebih serius iaitu 3,4 dan 5.

Peningkatan kes baharu sejak beberapa hari lalu juga menyaksikan lonjakan sederhana dalam kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana kes meningkat dari 538 kes semalam kepada 544 kes hari ini.

Daripada jumlah itu 485 kes disahkan Covid-19 manakala 59 kes disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sebanyak 269 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan di mana 194 disahkan kes Covid-19 dan 75 disyaki dan kes dalam siasatan. – 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen