Gila, kompaun RM4,000 kerana lambang Pakatan, kata Fahmi Fadzil


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil membidas tindakan kompaun kerana menggunakan jaket yang membawa lambang Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2021. 

FAHMI Fadzil hari ini membidas pihak berkuasa kerana mengeluarkan kompaun kepada individu, yang dipercayai calon pilihan raya Melaka, kerana menggunakan jaket yang membawa lambang Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai membuat kritikan itu menerusi Twitter dan menyifatkan ia sebagai gila.

“Gila, pakai lambang Pakatan Harapan pun kena kompaun,” katanya.

Fahmi turut memuatnaik gambar kompaun yang dikeluarkan, yang menjelaskan kesalahan “Menjalankan kempen pilihan raya negeri Melaka dengan cara calon memakai jaket berlambang parti Pakatan Harapan”.

Putrajaya menghalang perhimpunan politik, walkabout atau lawatan ke rumah dalam tempoh berkempen pilihan raya negeri Melaka bagi mengekang penularan Covid-19.

Parti politik dan calon dinasihatkan untuk menggunakan kaedah dalam talian untuk berkempen. Calon juga dibenarkan berkempen menggunakan kenderaan yang dilengkapi pembesar suara bagi menyampaikan ucapan kempen, tertakluk kepada kelulusan polis.

Fahmi dengan sinis turut mempersoalkan sama ada simbol parti itu boleh menyebarkan virus Covid-19.

Katanya mereka bukan takut dengan koronavirus tetapi sebenarnya takut dengan demokrasi.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pihak namun dilihat beliau tujukan kritikan itu kepada kerajaan kini yang diterajui Barisan Nasional.

“Sebab lambangkan sebar virus.

“Cuma bukan virus covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut,” katanya.

Beberapa pengguna media sosial menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan meminta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membatalkan kompaun sedemikian.

Pengguna Twitter @davidwong27 berkata; “Ini melampau lah! Mohon menteri Khairy batalkan kompaun ini. Ia semakin teruk. Tak masuk akal.”

Pilihan raya negeri itu akan berlangsung pada 20 November.

Pakatan Harapan memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu namun kerajaan negeri tumbang berikutan pembelotan yang menyebabkan Umno mengambil alih.

Bagaimanapun kerajaan negeri itu sekali lagi ditumbangkan selepas empat Adun, termasuk dua dari Umno, menarik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali. – 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen