FELDA menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk berunding dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengenai penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan demi kepentingan kedua-dua pihak.
Pengerusinya Shahrir Samad mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut hari ini sebagai kesinambungan perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB pada 15 Januari lalu.
“Pada perjanjian tersebut, SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.
“Pihak pemaju juga bersetuju menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan ke atas nama Felda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan ahli lembaga pengarah Felda yang mewakili Kementerian Kewangan, Dr Yusof Ismail dan dianggotai oleh ahli lembaga Felda yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nik Azman Nik Abdul Majid; Pengarah Besar Felda, Ab Ghani Mohd Ali dan seorang lagi wakil JPM, Zainal Abidin Abdul Hassan.
“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), JPM di dalam jawatankuasa tersebut.
“Keputusan ini dibuat hasil mesyuarat Lembaga Felda pada Khamis, 25 Januari lalu,” kata Shahrir dalam kenyataan sama.
Pada 15 Januari lalu, Shahrir mengumumkan Felda mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada SPSB, tanpa melibatkan apa-apa kos.
Kontroversi tercetus apabila media melaporkan pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016 diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda.
Bagaimanapun Shahrir dalam sidang media Disember lalu berkata lembaga pengarah Felda tidak tahu menahu mengenai pertukaran tanah tersebut.
Shahrir turut mengakui bahawa pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dilaksanakan di tanah itu akan tetap diteruskan kerana pihak pemaju telah memperoleh perintah pembangunan sebelum transaksi hak milik tanah dilakukan. – 29 Januari, 2018.
Komen