MENUNGGU hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai, baru umum calon ketua menteri (KM) mungkin akan menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.
Tidak menamakan calon dalam tempoh berbaki 10 hari kempen, mereka berkata boleh menyebabkan pengundi mengesyaki wujudnya rasa tidak sepakat dalam gabungan itu berkenaan siapa bakal ketua menteri.
Bagaimanapun, ada juga berpendapat pengundi lebih kisah tentang calon yang diletakkan di kawasan mereka, berbanding siapa akan memegang peranan ketua menteri.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata dengan tidak menamakan calon ketua menteri, PN tidak menanamkan rasa keyakinan kepada pengundi.
“Namakan seorang calon ketua menteri adalah faktor yang boleh mencetuskan rasa yakin dalam kalangan pengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Dalam pilihan raya umum atau PRN, gabungan politik akan biasanya mengumumkan siapa ketua menteri atau perdana menteri pilihan mereka.
“Cara itu akan membolehkan pengundi menilai siapa mereka dan mereka jadi lebih yakin dalam mengundi calon.”
Mazlan berkata tunggu sehingga tamat PRN untuk umum calon boleh juga membawa kepada perebutan kuasa parti komponen dalam gabungan.
“Jika diumumkan lebih awal, semua orang boleh fokus kepada kempen. Sekarang persoalan utamanya, sama ada akan berlaku perebutan kuasa atau tidak selepas tamat mengundi.”
Beliau berkata jika PN memilih calon Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding di DUN Tanjung Bidara, ia bakal mencipta sejarah, kerana negara ini tidak pernah melantik wanita sebagai ketua menteri atau menteri besar.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin juga berkata Mas Ermieyati ada potensi untuk menjadi seorang pemimpin.
“Melaka tidak pernah ada ketua menteri seorang wanita. Memilihnya sebagai calon ketua menteri akan dapat menarik pengundi wanita.”
Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata PN akan menamakan calon ketua menteri selepas selesai PRN, menambah perbincangan diadakan dalam kalangan pemimpin parti gabungan itu.
Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari sebagai pilihannya untuk jawatan ketua menteri jika ia menang PRN.
Barisan Nasional (BN) sementara itu menamakan bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri.
PN, PH dan BN bertanding di semua 28 kerusi sementara Parti Perikatan India Muslim Nasional bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang dipimpin Ibrahim Ali bertanding di lima kerusi. – 12 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen