Kajian dapati vaksin Covid-19 keluaran India sangat berkesan


Covaxin mendapat kelulusan kecemasan daripada WHO minggu lalu dan sudah diluluskan untuk digunakan di 17 negara. – Gambar EPA, 12 November, 2021.

COVAXIN, vaksin Covid-19 pertama yang dibangunkan di India “sangat berkesan” dan tidak menimbulkan kebimbangan keselamatan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Lancet pada Khamis.

Covaxin, yang dibangunkan oleh Bharat Biotech, mendapat kelulusan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu dan sudah diluluskan untuk digunakan di 17 negara.

Badan PBB itu menyifatkan ia sebagai “amat sesuai untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana keperluan penyimpanan yang mudah”.

Beberapa vaksin lain yang diluluskan perlu disimpan pada suhu sangat rendah, yang menimbulkan masalah logistik dan kos.

Covaxin “sangat berkesan terhadap simptom penyakit Covid-19 yang disahkan oleh makmal pada orang dewasa,” kata laporan itu.

Ia juga bertoleransi dengan baik tanpa kebimbangan keselamatan yang dibangkitkan dalam analisis sementara ini, tambahnya.

Vaksin buatan India itu mempunyai kadar keberkesanan 78% selepas pengambilan dua dos dalam tempoh sebulan, menurut WHO.

Ia menyertai vaksin anti-Covid yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Johnson&Johnson, Sinopharm dan Sinovac dalam senarai diluluskan oleh WHO.

Pelancaran Covaxin mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran global yang terhad, dan menambah baik bekalan vaksin tidak mencukupi yang menjejaskan negara berpendapatan rendah dan sederhana secara tidak seimbang, kata penyelidik China Li Jingxin Li dan Zhu Fengcai, yang tidak mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Bagaimanapun, mereka menyebut had tertentu untuk kajian itu, dengan berkata memandangkan ujian dijalankan hanya di India, terdapat kumpulan kajian yang kurang kepelbagaian etnik.

Kajian juga dijalankan antara November 2020 hingga Januari 2021, sebelum varian Delta virus yang lebih menular itu tersebar luas.

Bagaimanapun, penyelidik yang terlibat dapat mengenal pasti pesakit mana yang dijangkiti varian Delta. 

Bagi subkumpulan ini, kajian mendapati Covaxin masih memberikan perlindungan terhadap Covid, tetapi hanya sedikit kurang berkesan. – AFP, 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen