PENGUNDI Melaka harus memilih Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Akan datang jika mereka mahu melihat perubahan untuk kebaikan, kata Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS berkata parti dalam gabungan PN bukanlah parti ekstremis seperti yang lain.
Beliau tidak menamakan secara khusus pihak yang dimaksudkannya.
“Kita tubuh Perikatan. Pakatan baharu.
“Kita kumpul parti yang tidak keterlaluan, yang boleh bersatu dan bekerjasama.
“PAS, Bersatu dan Gerakan bertanding di bawah panji PN. Kita bertanding untuk menolak parti ekstremis.
“Pembaharuan mesti dibuat. Kalau Melaka nak berubah, mereka kena pilih PN,” kata presiden PAS itu pada ceramah PN hari ini menjelang PRN Melaka.
PN bertanding kesemua 28 kerusi di Melaka. Bersatu akan bertanding 15 kerusi, PAS lapan kerusi dan Gerakan lima kerusi.
PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini.
Pakatan Harapan memenangi negeri itu pada pilihan raya umum lalu tetapi kerajaan negeri tumbang berikutan pembelotan yang membenarkan kerajaan pimpiman Umno mengambil alih.
Bagaimanapun kerajaan negeri itu juga digulingkan selepas empat Adun termasuk dua daripada Umno menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. – 11 November, 2021.
Komen