PUTRAJAYA sepatutnya memperuntukkan ruang yang sama untuk semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk berkempen melalui saluran media, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Mengulas mengenai kerajaan sedia ada, Muhyiddin berkata pada masa ini nampaknya hanya calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada PRN akan datang.
“Semalam saya menonton di televisyen dan nampaknya tidak ada parti lain yang bertanding (dalam PRN) kecuali BN dan mungkin Pakatan Harapan.
“Tetapi bagi PN, nampaknya ia tidak wujud langsung. Keadaan seperti itu tidak menggambarkan peruntukan yang adil dari segi masa siaran untuk kita memperkenalkan parti dan calon kita,” kata Presiden Bersatu itu dalam ceramah PN hari ini menjelang PRN Melaka.
Muhyiddin merayu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa supaya berlaku adil dalam memperuntukkan slot untuk parti yang bertanding berkempen melalui televisyen.
“Kita masih ada ruang dan peluang untuk memperkenalkan parti dan calon kita,” katanya.
Selain itu Muhyiddin menggesa kerajaan melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikenakan terhadap kempen pilihan raya di negeri berkenaan.
Beliau berkata SOP yang ketat menghalang calon bertemu pengundi kerana mendakwa ia tidak memberikan gambaran yang baik.
“Saya faham SOP untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19…tetapi saya minta kerajaan memberi pertimbangan dan kelonggaran.
“Sebagai contoh memberi sedikit kebebasan kepada calon yang bertanding untuk membolehkan mereka turun bertemu pengundi. Jika calon tidak pergi berjumpa pengundi, saya rasa ia tidak memberikan gambaran yang baik.
“Di kampung, mereka (pengundi) selalunya mengharapkan calon bertemu mereka tetapi sekarang ada sekatan. Jadi kelonggaran itu sewajarnya diberikan kepada calon,” katanya.
PN bertanding kesemua 28 kerusi di Melaka. Bersatu akan bertanding 15 kerusi, PAS (8) dan Gerakan (5).
PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini. – 11 November, 2021.
Komen