Saya tidak mahu Pakatan kembali berkuasa, kata Muhyiddin


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak mahu pembangkang pimpinan Pakatan Harapan kembali berkuasa oleh kerana itu beliau memilih pemimpin Umno menggantikannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau mencadangkan seorang pemimpin Umno menggantikannya untuk jawatan tertinggi selepas hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Muhyiddin berkata walaupun mempunyai pilihan untuk membubarkan kerajaan dan menggesa pilihan raya baharu, beliau menentang pilihan itu dan sebaliknya mencalonkan Ismail Sabri Yaakob dari Umno sebagai perdana menteri (PM) seterusnya.

Beliau berkata antara sebabnya beliau tidak mahu pembangkang pimpinan Pakatan Harapan kembali berkuasa.

“Saya mengambil langkah luar biasa. Umno yang menjatuhkan saya tetapi saya mencadangkan Ismail Sabri dicalonkan sebagai PM.

“Kenapa? Untuk menyelamatkan negara kita. Kita tidak bersedia untuk negara kita jatuh ke tangan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau (Lim) Guan Eng.

“Jadi, saya dengan rela hati mencalonkan Ismail Sabri dan beliau mendapat sokongan termasuk ahli Umno (yang tidak menyokong saya) dan beliau dipilih menjadi PM,” kata pengerusi PN itu pada ceramah yang diadakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

Pengerusi Bersatu itu berkata walaupun Umno mempermainkan Bersatu di peringkat Persekutuan dan juga di negeri, beliau tidak membalas dendam terhadap Umno.

Muhyiddin berkata beliau boleh dengan mudah membuat kerajaan negeri Johor yang diterajui Umno tumbang tetapi mendakwa beliau tidak akan melakukan muslihat yang sama seperti dilakukan oleh parti Melayu tertua itu.

Muhyiddin berkata beliau tidak akan tunduk kepada keputusan buruk seperti itu kerana meletakkan keutamaan dan keselamatan rakyat.

“Apa yang berlaku di Perak? (Ahmad Faizal Azumu) Peja jadi MB tetapi digulingkan walaupun wujud persefahaman antara Umno di bawah Zahid (Hamidi).

“Pada mulanya di Melaka Umno mengambil alih tetapi mereka berjanji lebih awal untuk menyerahkannya kepada Bersatu. Namun begitu Umno yang menguasai kini jatuh.

“Kalau saya hanya mengambil berat tentang parti saya, di negeri Johor, Bersatu ada 14 kerusi, Umno dan MIC ada 15 kerusi, keseluruhannya 29 kerusi. PH ada 27 kerusi. Jadi majoriti dua kerusi sahaja.

“Jika saya berniat jahat dan hanya mencari kepentingan politik, saya boleh melakukan perkara yang sama untuk negeri Johor hanya dengan mengeluarkan dua Adun dan menyebabkan kerajaan Johor sekarang tumbang.

“Tetapi saya tidak mahu bertindak bodoh dan berniat tidak baik untuk menimbulkan masalah yang sama di Johor. Bukan kerana ia negeri saya tetapi untuk memelihara kebajikan dan kepentingan rakyat,” tambah Muhyiddin. – 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen