Saya di sebalik pembentukan Bersatu, bukan Dr Mahathir, kata Muhyiddin


Ravin Palanisamy

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan beliau individu di sebalik penubuhan parti itu dan bukannya bekas perdana menteri dan pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan beliau individu di sebalik penubuhan parti itu dan bukannya bekas perdana menteri dan pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata beliau membuat keputusan membentuk Bersatu selepas dipecat dari Umno oleh perdana menteri dan presiden parti berkenaan ketika itu Najib Razak selepas beliau mula mempersoalkan mengenai skandal 1MDB.

“Keadaan dalam negara teruk kerana isu kleptokrasi, pemimpin terlibat dan pernah menggunakan wang dan sebagainya. Kami tahu keadaannya agak teruk.

“Jadi atas sebab itu saya mengambil langkah, bukan Tun Mahathir, untuk membentuk Bersatu.

“Ini adalah perjuangan kami, sesuatu seperti jihad dan kami tidak boleh bersendirian. Kami perlu bersama kumpulan atau mempunyai platform politik,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu pada ceramah hari ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Muhyiddin berkata Bersatu bergabung tenaga dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mempunyai gabungan politik hebat yang boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah ketika itu.

Itu akhirnya menjadi kenyataan apabila PH menggulingkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Selepas membentuk kerajaan bersama PH Muhyiddin mendakwa arahan PH tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam dan rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata beliau memberitahu Dr Mahathir bahawa rakyat akan membuang Bersatu dalam pilihan raya akan datang jika mereka terus menjadi sebahagian daripada PH.

Mengenai pelantikan sebagai perdana menteri kelapan selepas pergolakan politik Muhyiddin berkata Dr Mahathir menyedari perkara itu kerana beliau mendakwa sudah memaklumkan hasratnya kepada perdana menteri.

Muhyiddin berkata beliau hanya mengemukakan namanya selepas Dr Mahathir menolak peluang untuk terus berkuasa selepas mendapat sokongan lebih 130 ahli Parlimen termasuk Umno dan PAS.

“(Ahmad) Zahid Hamidi dan Hadi Awang berjumpa Tun di kediamannya untuk mengesahkan sokongan mereka tetapi Tun enggan bekerjasama dengan Umno.

“Jadi apabila saya mengemukakan nama saya untuk jawatan PM, Tun bertanya sama ada saya boleh mendapatkan sokongan yang mencukupi yang saya katakan ‘insyaAllah’,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata ahli Umno yang pada mulanya menyokong pada 2020 menarik sokongan mereka yang membawa kepada peletakan jawatannya pada Ogos lalu. – 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen