MALAYSIA mencatatkan 6,323 kes baharu Covid-19 berbanding 5,337 kes pulih setakat hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Angka baharu itu pastinya menyumbang kepada lonjakan kes aktif Covid-19 di negara ini kerana jumlah jangkitan baharu mengatasi jumlah pulih selama tiga hari berturut-turut.
Angka kes aktif akan dikemas kini dalam laman web CovidNow Kementerian Kesihatan (KKM) selepas tengah malam.
Jangkitan baharu yang direkodkan hari ini adalah yang tertinggi dalam tempoh dua minggu lalu. Kes di Malaysia berada dalam aliran meningkat sejak Ahad apabila 4,343 jangkitan dicatatkan.
Selaras dengan lonjakan kes, kadar jangkitan atau R-naught (Ro) di beberapa negeri sudah meningkat terutamanya di Lembah Klang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ketiga-tiga tempat ini kini mempunyai nilai Ro di atas 1 di mana Putrajaya mendahului carta dengan 1.06 diikuti Kuala Lumpur dengan 1.03 dan Selangor 1.03.
Negeri lain yang mempunyai nilai Ro melebihi 1 ialah Kelantan (1.01) dan Negeri Sembilan (1.00).
Nilai R-naught negara ialah pada 0.99.
Sementara itu daripada kes baharu yang direkodkan hari ini, 98.5% atau 6,226 daripada jangkitan adalah dalam kategori asimtomatik dan sederhana gegala 1 dan 2 manakala hanya 1.5% atau 97 kes diklasifikasikan di bawah kategori lebih serius 3,4 dan 5.
Di sebalik peningkatan kes Covid-19, bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun daripada 543 semalam kepada 538 hari ini.
Daripada 538 pesakit itu, 503 disahkan dirawat Covid-19, manakala 35 disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.
Mereka yang memerlukan alat sokongan ventilator juga menyaksikan penurunan kecil dari 279 semalam kepada 274 hari ini.
Seramai 191 pesakit disahkan kes Covid-19 manakala baki 83 lagi adalah kes berkemungkinan dan kes dalam siasatan.
Selain itu Noor Hisham berkata kementerian mengesan empat kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu yang menyumbang kepada 46 kes.
Noor Hisham berkata tiga kluster dikaitkan dengan tempat kerja (40 kes) dan satu kluster dikesan di institusi pendidikan (enam kes).
Tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor, Johor dan Pahang manakala kluster pendidikan tunggal dikesan di Kuala Lumpur.
Kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini kepada 5,828. Daripada jumlah itu, 288 masih aktif dan 5,540 sudah tamat. – 11 November, 2021.

Komen